Manusia diseru laksana amanah, serah urusan lain kepada Allah SWT (VIDEO)

16 Mac 2026, 11:00 AM
Manusia diseru laksana amanah, serah urusan lain kepada Allah SWT (VIDEO)
Manusia diseru laksana amanah, serah urusan lain kepada Allah SWT (VIDEO)

SHAH ALAM, 16 MAC: Umat manusia diseru melaksanakan amanah dan tanggungjawab di muka bumi ini dengan jujur serta tidak terus tenggelam dalam persoalan di luar kemampuan.

Perkara itu antara pengajaran ayat 26 Surah Al-Mulk yang dihuraikan Pensyarah Pusat Kajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Ahmad Fakhrurrazi Mohammed Zabidi.

Beliau menjelaskan manusia seharusnya terus melakukan kebaikan dan menyerahkan urusan selebihnya kepada Allah SWT.

"Allah memerintahkan supaya disampaikan kepada golongan yang memperolok-olokkan bahawa pengetahuan mengenai hari kebangkitan, pembalasan dan kiamat berada di sisi Allah.

Pensyarah Pusat Kajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Ahmad Fakhrurrazi Mohammed Zabidi menghuraikan kandungan dan ayat Surah Al-Mulk dalam progam tadabbur al-Quran 30 hari 30 ayat bersama Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.

"Sudah pasti ganjaran diberikan kepada mereka yang beriman, manakala balasan pula menanti golongan yang enggan melaksanakan pengabdian kepada Allah SWT," katanya.

Ayat berkenaan dibacakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dengan bimbingan Dr Ahmad Fakhrurrazi menerusi program Tadabbur al-Quran: 30 Hari 30 Ayat sempena Ramadan.

Menurut Dr Ahmad Fakhrurrazi lagi, Nabi Muhammad SAW telah melaksanakan tugas Baginda sebagai penyampai risalah.

"Jika ada golongan yang ingkar atau bertanya bukan untuk mendapatkan keinsafan dan kebenaran, maka kita tidak perlu melayannya. Serahkan sahaja kepada Allah SWT, sementara Nabi SAW kekal konsisten dengan tugas Baginda,” katanya.

Dr Ahmad Fakhrurrazi berkata setiap manusia, sama ada pendidik, ahli perniagaan, pengamal undang-undang mahupun usahawan, perlu konsisten melaksanakan tugas masing-masing.

"Tugas kita bukan sekadar untuk kelangsungan hidup, tetapi untuk memastikan keterhubungan hati dengan Allah SWT, kerana kita dihidupkan di muka bumi ini untuk diuji siapakah yang paling baik amalannya.

"Sebab itu Allah menjadikan rezeki bertebaran di muka bumi ini. Apa yang diperlukan boleh diambil, namun akhirnya kita tetap akan kembali kepada Allah SWT.

"Justeru, kekallah bersama Allah SWT dalam memakmurkan bumi serta menjadi hamba-Nya yang sentiasa bersyukur," katanya.

Tangkap layar rakaman video progam tadabbur al-Quran 30 hari 30 ayat sempena Ramadan bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Sementara itu, Amirudin turut mengingatkan agar manusia menjalani kehidupan dengan penuh tanggungjawab dan sentiasa mengutamakan Allah SWT.

"Ingatlah bahawa kita sebagai khalifah di bumi mempunyai tanggungjawab untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT, beribadat serta bersyukur atas segala pancaindera yang dikurniakan," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.