Keindahan alam semesta didik manusia tentang ilmu dan tawaduk

23 Feb 2026, 2:15 PM
Keindahan alam semesta didik manusia tentang ilmu dan tawaduk

SHAH ALAM, 23 FEB: Keindahan langit malam yang dihiasi bintang bukan sekadar panorama mempesona, sebaliknya menjadi tanda kebesaran Allah SWT yang mendidik manusia tentang kepentingan ilmu, disiplin dan sikap tawaduk.

Timbalan Mufti Pahang, Dato’ Dr Badli Shah Alauddin berkata susunan bintang di langit memperlihatkan kesempurnaan ciptaan Allah SWT serta mengandungi hikmah yang boleh dijadikan pedoman dalam kehidupan.

“Kajian menunjukkan terdapat sehingga 100 sekstilion bintang di langit manakala Buruj Al-Babadur (juga dikenali sebagai Buruj Belantik atau Orion) digunakan sebagai kaedah tradisional untuk menentukan arah kiblat yang membuktikan kebijaksanaan ciptaan Allah SWT.

“Arah kiblat dapat dikenal pasti melalui tiga bintang yang berderetan, iaitu Mintaka, an-Nilam dan an-Nitak yang membentuk satu garisan lurus yang mengunjur ke arah barat,” katanya menerusi program 30 Hari 30 Ayat bersama Dato’ Menteri Besar sempena Ramadan.

Terdahulu, ayat kelima Surah al-Mulk dibacakan Dato’ Seri Amirudin Shari dengan bimbingan Pensyarah Pusat Kajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Ahmad Fakhrurrazi Mohammed Zabidi.

Badli Shah berkata ayat tersebut memperlihatkan bagaimana fenomena alam, termasuk petunjuk arah melalui bintang, mampu mendorong manusia untuk terus menuntut ilmu sepanjang hayat.

Sebagai penutup kupasan, Amirudin menegaskan segala ciptaan Allah SWT adalah sempurna dan al-Quran diturunkan sebagai petunjuk serta pemisah antara kebenaran dan kebatilan.

“Surah al-Mulk mengingatkan kita tentang kebenaran ciptaan Allah dan mendidik manusia agar tidak terjebak dengan kesombongan, sebaliknya sentiasa menyedari bahawa kita hanyalah hamba dalam salah satu ciptaan-Nya.

“Pengajaran ini turut menekankan kepentingan istiqamah dalam menuntut ilmu serta memahami tanda-tanda kebesaran Allah SWT yang terserlah melalui alam ciptaan-Nya, sekali gus memperkukuh iman dan akhlak umat Islam,” katanya.