Takut kepada Allah ketika bersendirian ukuran iman sebenar (VIDEO)

2 Mac 2026, 2:00 PM
Takut kepada Allah ketika bersendirian ukuran iman sebenar (VIDEO)

SHAH ALAM, 2 MAC: Ayat 12 Surah Al-Mulk menegaskan darjat seseorang hamba di sisi Allah ditentukan oleh ketakwaannya ketika bersendirian, bukan semata-mata amalan yang dipamerkan di hadapan manusia.

Timbalan Mufti Pahang, Dato’ Dr Badli Shah Alauddin berkata ayat tersebut memuji tahap keimanan yang tinggi dan sukar dicapai, iaitu sifat takut kepada Allah walaupun tiada pengawasan atau perhatian daripada manusia.

“Kita nak membuat baik ketika bersendirian itu susah, ramai orang boleh buat baik ketika ramai mata tengok ada kamera dan terdapat penonton kalau sembahyang di masjid, khusyuk dalam solatnya.

“Tapi jadi baik ketika tiada memerhati itu iman tahap tinggi, sebab dia tahu dia apa yang nak ditunjukkan melainkan pada Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Tadabbur al-Quran 30 Hari 30 Ayat bersama Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari dalam episod Ramadan ke-12.

Tambah beliau, keikhlasan seseorang terserlah melalui sikapnya ketika berada dalam keadaan sunyi, termasuk menjaga aurat, menjauhi perkara haram dan tidak mengambil hak orang lain walaupun mempunyai peluang berbuat demikian.

Dalam konteks semasa, katanya, sifat tersebut boleh difahami sebagai integriti diri yang konsisten antara perlakuan di hadapan umum dan ketika bersendirian.

“Sebab itu kata Imam Syafie berkata dalam hidup ini ada tiga perkara paling berat untuk kita nak lakukan. Pertama, bersedekah ketika kita tiada duit. Kedua, kita jadi baik ketika bersendirian dan ketiga benda paling susah nak bercakap benar ataupun nak menegur orang yang kita termakan budi.

“Orang yang hebat dia dapat menahan diri dia daripada melakukan maksiat walaupun dalam keadaan sunyi. Kalau bahasa sekarang kita panggil integriti, maknanya dia boleh duduk bersendirian, tidak membuka haram dan auratnya sendiri pun dia tidak buka walaupun dia bersendirian,” katanya.

Apa reaksi anda?