Kupasan 30 Hari 30 Ayat bersama MB kembali mewarnai Ramadan

18 Feb 2026, 12:03 PM
Kupasan 30 Hari 30 Ayat bersama MB kembali mewarnai Ramadan

SHAH ALAM, 18 FEB: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari, mengajak umat Islam menjadikan Ramadan kali ini peluang membaca, mendalami dan memahami al‑Quran melalui program 30 Hari 30 Ayat.

Beliau berkata bacaan pada edisi Ramadan kali ini akan memfokuskan Surah Al-Mulk, yang mengingatkan umat Islam tentang kekuasaan Allah SWT, hakikat kehidupan serta tanggungjawab sebagai hamba.

“Setiap bacaan ini akan disusuli tadabbur ringkas oleh ustaz jemputan yang akan menghuraikan mesej ayat tersebut supaya lebih dekat dengan realiti kehidupan hari ini.

"Saya mengajak semua untuk bersama menyertai perjalanan ini dan menghidupkan Ramadan dengan bacaan serta kefahaman al-Quran,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan bacaan dan penghayatan Surah Al-Mulk akan dibimbing oleh Pensyarah Pusat Kajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Ahmad Fakhrurrazi Mohammed Zabidi bersama dua lagi pembimbing jemputan.

Beliau juga berharap usaha kecil menerusi penganjuran program berkenaan dapat menjadi asbab kepada pertambahan iman dan rasa syukur di samping membawa keberkatan dalam kehidupan seharian bersama keluarga serta pembangunan negeri.

Program 30 Hari 30 Ayat yang bermula pada 2023 dan kini memasuki edisi keempat bertujuan memberi pedoman, menyemarakkan penghayatan al-Quran serta mengajak umat Islam memelihara hati dan jiwa sepanjang bulan Ramadan yang mulia.

Program ini akan disiarkan setiap hari menerusi platform media sosial rasmi Dato’ Menteri Besar dan Media Selangor bagi memudahkan orang ramai mengikuti bacaan serta tadabbur sepanjang Ramadan.