Hidup dan mati adalah ujian, ukurannya amal terbaik (VIDEO)

20 Feb 2026, 12:00 PM
Hidup dan mati adalah ujian, ukurannya amal terbaik (VIDEO)
Hidup dan mati adalah ujian, ukurannya amal terbaik (VIDEO)
Hidup dan mati adalah ujian, ukurannya amal terbaik (VIDEO)

SHAH ALAM, 20 FEB: Allah SWT menciptakan hidup dan mati untuk menguji siapa dalam kalangan umat manusia yang lebih baik amalannya, bukan sekadar paling banyak, menurut ayat kedua Surah al-Mulk.

Timbalan Mufti Pahang, Dato’ Dr Badli Shah Alauddin berkata ayat tersebut sesuai dihayati dalam suasana Ramadan, yang mana umat Islam bukan sahaja digalakkan menambah amal, tetapi juga perlu meningkatkan mutu serta kualiti amalan.

“Ayat ini mengingatkan kita dua perkara yang sangat pasti, iaitu hidup dan mati. Hidup ini bukan sekadar hidup, mati juga bukan suatu kebetulan. Mati dan hidup itu ujian.

“Tetapi ujian itu bukan siapa yang paling lama hidup, tapi siapa yang paling baik amalannya. Allah SWT mahu tengok siapa amalan yang terbaik, bukan amalan terbanyak,” katanya menerusi program 30 hari 30 ayat al-Quran bersama Dato’ Menteri Besar sempena Ramadan.

Terdahulu, ayat kedua dalam Surah al-Mulk dibacakan Dato’ Seri Amirudin Shari dengan bimbingan Pensyarah Pusat Kajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Ahmad Fakhrurrazi Mohammed Zabidi.

Tangkap layar rakaman video progam tadabbur al-Quran 30 hari 30 ayat sempena Ramadan bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari

Dr Badli Shah menambah, ayat kedua Surah al-Mulk merupakan antara kriteria peribadi cemerlang yang disebutkan Allah SWT dalam tiga surah al-Quran, termasuk Surah at-Tin (ayat 4) dan Surah Fusilat (ayat 33).

Katanya, Surah at-Tin menjelaskan bahawa manusia adalah penciptaan Allah yang terbaik dan Surah Fusilat pula memberitahu kita memiliki akhlak yang terbaik dan yang paling baik amalannya.

“Sebab itu Allah SWT perintahkan kita untuk miliki fikiran sebagai pemenang. Bersaing, jangan tunggu. Kalau kita ada sikap ini, kita boleh jadi umat yang hebat,” katanya.

Sebagai penutup kupasan, Amiruddin mengajak umat Islam untuk terus melaksanakan setiap ibadah dengan terbaik dan menjadi juara, sekali gus menjulang nama Islam di persada dunia.

“Apa pun umat Islam, ketika melakukan ibadah yang khusus, buat yang terbaik. Ketika di dunia, bersaing dan jadi juara di mana-mana,” katanya.

Berikut episod sebelum ini:

Episod 1: Kupasan 30 Hari 30 Ayat bersama MB kembali mewarnai Ramadan

Episod 2: Kebesaran, kekuasaan Allah SWT meliputi seluruh alam