Tingkat ketakwaan, renung kebesaran Allah di sekeliling kita (VIDEO)

21 Feb 2026, 12:00 PM
Tingkat ketakwaan, renung kebesaran Allah di sekeliling kita (VIDEO)
Tingkat ketakwaan, renung kebesaran Allah di sekeliling kita (VIDEO)
Tingkat ketakwaan, renung kebesaran Allah di sekeliling kita (VIDEO)
SHAH ALAM, 21 FEB: Umat Islam diseru untuk merenung kebesaran Allah SWT melalui ciptaan yang tersusun rapi, sebagaimana digambarkan dalam ayat ketiga Surah al-Mulk.

Menerusi program tadabbur 30 hari 30 ayat  al-Quran, Timbalan Mufti Pahang, Dato’ Dr Badli Shah Alauddin berkata Allah SWT menciptakan tujuh langit berlapis-lapis dengan cukup sempurna.

“Segala kejadian yang Allah SWT buat, suruh kita berfikir. Begitu tersusun malam berganti siang, begitu juga ada empat musim di sesetengah negara.

"Sebab itu ayat ini mengajak kita untuk melihat dengan mata kita segala kejadian yang Allah SWT buat dan Allah SWT suruh kita berfikir," katanya dalam program sempena Ramadan bersama Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau menjelaskan, susunan alam yang begitu teratur menjadi pengajaran kepada manusia dalam mengurus kehidupan.

"Sebagai manusia, kita tidak mampu mentadbir sesempurna Allah. Akan ada kecacatan, tetapi Allah SWT mengajar kita supaya melakukan urus tadbir dengan teratur, sistematik, ada tamakninah" katanya.

Terdahulu, ayat ketiga dalam Surah al-Mulk dibacakan Amirudin dengan bimbingan Pensyarah Pusat Kajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Ahmad Fakhrurrazi Mohammed Zabidi.

Dr Badli Shah turut mengingatkan, ayat berkenaan mendidik manusia daripada sudut psikologi agar tidak mudah menyalahkan tuhan ketika berdepan ujian hidup sebaliknya mengurus hidup dengan lebih tersusun, berdisiplin dan bertakwa kepada Allah SWT.

Beliau berkata ayat ketiga Surah al-Mulk itu juga membuka minda umat Islam untuk berfikir tentang ilmu sains, termasuk memahami penciptaan tujuh lapisan langit.

"Allah SWT mahu tunjukkan bahawa apabila diuji, manusia perlu belajar, mencari ilmu dan mengenali ciptaan-Nya supaya mampu mengatasi ujian," katanya.

Berikut episod sebelum ini:

Episod 1: Kupasan 30 Hari 30 Ayat bersama MB kembali mewarnai Ramadan

Episod 2: Kebesaran, kekuasaan Allah SWT meliputi seluruh alam

Episod 3: Hidup dan mati adalah ujian, ukurannya amal terbaik