SUKMA 2026: Selangor dominasi muay thai dengan lima emas

23 Ogos 2026, 10:05 AM
SUKMA 2026: Selangor dominasi muay thai dengan lima emas
SUKMA 2026: Selangor dominasi muay thai dengan lima emas

KLANG, 23 OGOS: Selangor mempamerkan aksi cemerlang apabila meraih lima pingat emas dalam saingan final muay thai Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di KSL Esplanade Mall di sini, hari ini.

Penguasaan Selangor bermula menerusi pasangan adik-beradik Adhem Syf dan Arysh Shaddad Ubaidillah@Nasri yang masing-masing muncul juara kategori lelaki 67 kilogram (kg) dan 63.5kg.

Atlet kebangsaan Putra Abdullah Mahmoud kemudian menyumbang emas ketiga dalam kategori 60kg selepas menewaskan wakil Pulau Pinang, Muhamad Hakimi Nordin.

Sorakan ribuan penyokong menghangatkan suasana apabila Muhammad Fadzmi Aiman Mohd Fadzli menghadiahkan emas keempat selepas menewaskan Muhammad Ramadhani Abd Razak dari Perak menerusi kemenangan TKO apabila pengadil menghentikan perlawanan.

Muhammad Haris Haiqal Helmi melengkapkan kutipan lima emas Selangor dengan menumpaskan atlet Sabah, Ed Ryan Jefferson dalam kategori 54kg.

Muhammad Fadzmi Aiman Mohd Fadzli meraikan kejayaan meraih pingat emas muay thai pada SUKMA Selangor 2026. Foto SHAMZ JOHAN/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, pengurus pasukan Mohamad Helmi Ramli berpuas hati dengan pencapaian anak buahnya yang berjaya melangkaui sasaran awal tiga pingat emas pada SUKMA kali ini.

"Walaupun Majlis Sukan Negara tetapkan dua pingat emas, tapi kita berjaya bawa pulang lima pingat emas dan satu gangsa.

"Kita memang berusaha keras untuk dapat sasaran yang baik untuk SUKMA Selangor. Alhamdulillah berkat usaha semua jurulatih dan atlet-atlet yang berlatih dengan gigih, tak kenal siang dan malam," katanya kepada Media Selangor.

Menurut beliau, pasukan itu juga bersedia untuk mengetengahkan barisan pelapis muda sekiranya muay thai dipertandingkan pada SUKMA 2028 yang dijangka berlangsung di Kelantan.

"InsyaAllah, daripada atlet-atlet yang kita ada, kita masih dapat bawa lima atlet pelapis untuk ke edisi seterusnya di Kelantan 2028 nanti. Itupun sekiranya acara muay thai dipertandingkan di sana.

"Dalam masa sama kita juga mencari lagi bakat-bakat baru dan pelapis sebagai persediaan kontinjen kita nanti di SUKMA Kelantan," katanya lagi.

Secara keseluruhan, kem muay thai Selangor meraih lima emas dan satu gangsa menerusi Nur Afifah Zakirah Ahmad Faizal dalam kategori wanita 54kg.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.