
PETALING JAYA, 23 OGOS: Selangor meraih pingat perak acara bola sepak SUKMA Selangor 2026 selepas tewas 2-4 kepada Johor menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium MBPJ, malam tadi.
Kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas mengharungi perlawanan sengit sehingga tamat 120 minit permainan, sekali gus memaksa pemenang ditentukan menerusi sepakan penalti.
Kapten Selangor Muhammad Abu Khalil mengakui pasukannya mengambil masa untuk mendapatkan rentak permainan pada awal aksi selain tekanan terhadap diri sendiri turut mempengaruhi persembahan.
“Kita rasa lambat mendapatkan rentak pada awal permainan dan memberikan tekanan kepada diri sendiri, saya rasa kita boleh lebih tangkas di hadapan gol.

“Namun, saya memberikan penghargaan kepada semua pemain kerana cuba bertahan selama 120 minit dan akhirnya kita seri 1-1,” katanya ketika ditemui Media Selangor.
Sementara itu, jurulatih Selangor, I Arulchelvan tetap memuji komitmen yang ditunjukkan pemain daripada kedua-dua pasukan dalam perlawanan yang berlangsung dengan intensiti tinggi itu.
Beliau berkata, bukan mudah untuk pemain beraksi dalam jadual pertandingan yang padat, termasuk perlu kembali beraksi selepas tempoh rehat yang singkat.
“Tahniah kepada semua pemain daripada kedua-dua pasukan dan bukan mudah untuk kita bermain dengan jadual yang padat, satu pusingan kemudian berehat dan perlu beraksi semula.
“Perlawanan ini mempunyai tahap permainan tinggi, tetapi saya betul-betul berpuas hati. Inilah pengalaman yang perlu dipelajari pemain muda daripada perlawanan seperti ini,” katanya.
Kekalahan menerusi penentuan sepakan penalti itu menyaksikan Selangor menamatkan saingan bola sepak SUKMA Selangor 2026 di tempat kedua untuk membawa pulang pingat perak.
Johor muncul juara dan meraih pingat emas, manakala Perak melengkapkan podium di tempat ketiga dengan pingat gangsa.








