SUKMA 2026: Selangor tutup saingan ping pong dengan satu emas, dua perak

23 Ogos 2026, 4:56 AM
SUKMA 2026: Selangor tutup saingan ping pong dengan satu emas, dua perak

SHAH ALAM, 23 OGOS: Kem ping pong Selangor menutup hari terakhir saingan dengan satu pingat emas dan dua perak di Dewan MBDK, Bukit Raja.

Cheah Yu Zheng mengetepikan rasa gugup untuk menewaskan Gan Ai Lis dari Wilayah Persekutuan 4-2, sekali gus merangkul emas pada penampilan pertamanya di SUKMA.

Yu Zheng mendahului dua set awal sebelum Gan menyamakan kedudukan 2-2, namun kembali bangkit untuk menamatkan perlawanan dengan kemenangan 12-10, 11-9, 8-11, 7-11, 11-2 dan 13-11.

"Semestinya saya gugup pada penampilan final pertama saya di Sukma tetapi jurulatih menasihatkan saya supaya lebih tenang dan akhirnya berjaya bergelar pemenang.

"Terima kasih juga kepada para penyokong yang sentiasa membakar semangat saya untuk memberikan pingat emas ini buat Selangor," katanya kepada Media Selangor.

Atlet perseorangan wanita Selangor Cheah Yu Zheng memenangi pingat emas mengalahkan pemain Wilayah Persekutuan dalam acara akhir ping pong wanita SUKMA Selangor 2026 di Dewan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) Bandar Bukit Raja, Klang pada 23 Ogos 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Kejayaan itu melengkapkan koleksi empat pingat Yu Zheng sepanjang temasya berkenaan, masing-masing satu emas, dua perak dan satu gangsa.

Sebelum itu, Selangor turut mara ke final acara beregu campuran dan beregu lelaki, namun terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas kepada Sarawak dan Pulau Pinang.

Gandingan Lee Yong Yi-Hun Hui Qi tewas 0-3 kepada pasangan Sarawak dalam beregu campuran, manakala Yong Yi meraih satu lagi perak bersama Tey Hong Yu selepas dikecewakan pasangan adik-beradik dari Pulau Pinang dalam beregu lelaki.

Tiga pingat pada hari terakhir itu menjadikan keseluruhan kutipan Selangor dalam ping pong sebanyak enam pingat selepas beregu wanita meraih gangsa, skuad berpasukan wanita memperoleh perak dan skuad berpasukan lelaki membawa pulang gangsa.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.