
SHAH ALAM, 15 OGOS: Kontinjen Selangor terus mengungguli kedudukan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 selepas menambah tiga lagi pingat emas hari ini, menjadikan koleksi keseluruhan tujuh emas.
Tiga emas terbaharu tuan rumah hadir menerusi judo lelaki bawah 81 kilogram (kg), bola tampar pantai wanita dan gimrama latihan berpasukan.
Selangor turut menambah satu perak menerusi gimnas Sam Lee Li Momoka serta empat gangsa menerusi gimrama, judo, taekwondo dan berbasikal, manakala skuad sepak takraw wanita membuka kempen acara berpasukan dengan kemenangan.
Selangor turut menambah empat pingat gangsa menerusi judo, taekwondo dan berbasikal manakala skuad sepak takraw wanita membuka kempen acara berpasukan dengan kemenangan.

Muhammad Ashraf ungguli kategori bawah 81kg
Muhammad Ashraf Md Khairuldin menghadiahkan emas selepas menewaskan wakil Terengganu, Muhammad Amsyar Azizi menerusi Ippon dalam aksi golden score di IDCC Shah Alam.
Kejayaan itu menambah koleksi emas judo Selangor selepas Nur Sufia Arisha Mohamed Rasidi menjuarai kategori wanita bawah 44kg, semalam.
Gandingan adik-beradik bangkit raih emas
Rachael Goh Yu Jie dan Goh Yu Heng bangkit daripada kekalahan 16-21 pada set pertama untuk menewaskan Pulau Pinang A 21-17, 15-11 dalam dua set berikutnya.
Kemenangan di Gelanggang Bola Tampar Pantai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu mengesahkan pingat emas acara wanita buat Selangor.

Lima gimnas pamer aksi bertenaga
Selangor menambah koleksi emas selepas skuad gimrama mengungguli acara latihan berpasukan menerusi gandingan Tang Sher Myn, Rache Chua Hui Xin, Lor Suen Nah, Ker Jia Wen dan Gan Yi Xin.
Lima gimnas itu mempamerkan aksi kemas dan bertenaga untuk mengatasi cabaran kontinjen lain, sekali gus melengkapkan tiga emas diraih Selangor hari ini.
Dalam saingan lain, gimnas Sam Lee Li Momoka meraih pingat perak selepas mengumpul 95.350 mata dalam acara all-around individu.
Empat gangsa lagi dalam genggaman
Empat gangsa disumbangkan Cebastian Chee Zhen Yi dalam judo lelaki bawah 66kg dan Qisya Batrisyia Othman menerusi acara berbasikal merentas desa Olimpik (XCO) wanita.
Dua lagi gangsa diraih Valerie Choy Xin dalam taekwondo wanita bawah 73kg dan Muhammad Israr bagi kategori lelaki bawah 74kg.

Sepak takraw wanita mulakan langkah kanan
Skuad sepak takraw wanita Selangor membuka kempen acara berpasukan Kumpulan A dengan kemenangan ke atas Perlis di Arena MBSJ Puchong.
Regu pertama Selangor yang dibarisi Nurfarida Alifa Saiful Bahari, Norsabil Roslan dan Syakira Nur Amani Norzai tewas 15-10, 5-15, 7-15 sebelum regu kedua bangkit menerusi kemenangan 15-4, 15-2.
Perkhabaran duka selubungi temasya
Di sebalik kemeriahan temasya, warga SUKMA menerima perkhabaran duka apabila petugas kontinjen Kelantan, Syahizad Mohd Zahari, 49, yang membawa pasukan catur negeri itu meninggal dunia akibat serangan jantung, malam tadi.
Kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu ditemukan tidak sedarkan diri selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya terbabas di Tonggak 10, Sungai Besar dekat Sabak Bernam kira-kira jam 7.35 malam.
Perkhabaran itu turut dikongsi menerusi Facebook rasmi Sekretariat SUKMA & Para SUKMA Selangor 2026 yang merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.











