
SHAH ALAM, 15 OGOS: Seorang kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang membawa pasukan catur Kelantan bagi menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) meninggal dunia akibat serangan jantung, malam tadi.
Lelaki berusia 49 tahun itu ditemukan tidak sedarkan diri selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya terbabas di Tonggak 10, Sungai Besar dekat Sabak Bernam kira-kira jam 7.35 malam.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Md Yusof Ahmad berkata, siasatan mendapati mangsa merupakan pemandu khidmat awam yang bertugas di JPS Kota Bharu, Kelantan.
“Mangsa membawa pasukan atlet Kelantan menyertai Sukma bagi sukan catur di Sabak Bernam.
“Tiada sebarang unsur jenayah dan bedah siasat hospital mendapati punca kematian akibat serangan jantung,” katanya seperti dilapor Kosmo.

Terdahulu, mangsa ditemukan dalam sebuah Nissan X-Trail milik JPS selepas kenderaan itu terbabas di lokasi berkenaan.
Pasukan bomba menerima panggilan berhubung pintu kenderaan terbabit yang terkunci sebelum ia dibuka oleh orang awam.
Perkhabaran duka itu turut dikongsi menerusi Facebook rasmi Laman Rasmi Sekretariat SUKMA & Para SUKMA Selangor 2026 yang merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Syahizad Mohd Zahari.
Menurut hantaran itu, Allahyarham merupakan petugas Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan dan staf JPS Kelantan yang bertugas sebagai bapa angkat kontinjen negeri berkenaan pada SUKMA Selangor 2026.
“Allahyarham dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan untuk menjemput atlet catur di Sabak Bernam,” menurut perkongsian tersebut.







