
SHAH ALAM, 15 OGOS: Skuad sepak takraw wanita Selangor membuka kempen berpasukan peringkat Kumpulan A Suka Malaysia (SUKMA) dengan kemenangan selepas menewaskan Perlis dalam aksi sengit di Arena MBSJ Puchong, hari ini.
Selangor bagaimanapun terpaksa bermula dengan langkah kurang meyakinkan apabila regu pertama yang dibarisi Nurfarida Alifa Saiful Bahari, Norsabil Roslan dan Syakira Nur Amani Norzai tewas 15-10, 5-15, 7-15 kepada regu Perlis.
Ketinggalan satu regu tidak mematahkan semangat Selangor apabila regu kedua bangkit dengan aksi lebih bertenaga untuk menyamakan kedudukan menerusi kemenangan straight set 15-4, 15-2.
Sorakan penyokong tuan rumah di Arena MBSJ Puchong semakin bergema ketika regu Selangor yang dibarisi Nor Kamalia Azwa Kamarul, Nor Aina Dahlia Mohd Azlan dan Nur Farrah Yusrina Norhisyam menguasai permainan serta tidak memberi ruang kepada regu kedua Perlis untuk mengembangkan rentak.
Kedudukan 1-1 memaksa perlawanan ditentukan menerusi regu ketiga, yang menyaksikan Nur Damia Yusrina Norhisam, Nur Dania Amisya Roslan dan Wan Adriana Batrisyia Wan tampil sebagai wira Selangor.
Berdepan tentangan sengit, ketiga-tiga pemain itu kekal tenang dalam detik penting sebelum menamatkan pertarungan dengan kemenangan 15-13, 17-16, 15-11.
Kemenangan itu membolehkan Selangor mengutip kemenangan pertama dalam saingan Kumpulan A, sekali gus menyuntik keyakinan untuk meneruskan cabaran berpasukan wanita pada SUKMA ke-22.







