
SHAH ALAM, 15 OGOS: Atlet judo Selangor, Muhammad Ashraf Md Khairuldin menghadiahkan pingat emas kepada kontinjen tuan rumah selepas menjuarai kategori lelaki bawah 81 kilogram (kg) pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di IDCC Shah Alam, hari ini.
Muhammad Ashraf menewaskan wakil Terengganu, Muhammad Amsyar Azizi menerusi Ippon dalam aksi golden score untuk mengesahkan kejuaraan kategori berkenaan.
Kejayaan itu menambah koleksi emas Selangor dalam acara judo selepas kontinjen tuan rumah turut meraih emas menerusi kategori wanita bawah 44kg, semalam.
Dalam saingan lelaki bawah 66kg pula, wakil Selangor, Cebastian Chee Zhen Yi meraih pingat gangsa selepas menewaskan atlet Pahang, Ammar Haziq menerusi Ippon.
Cebastian sebelum itu meneruskan cabaran dalam pusingan repechage sebelum memanfaatkan peluang berkenaan untuk memastikan satu lagi pingat menjadi milik Selangor.
Semalam, atlet judo wanita Selangor, Nur Sufia Arisha Mohamed Rasidi membuka koleksi emas negeri dalam sukan itu selepas muncul juara kategori bawah 44kg.
Pencapaian Muhammad Ashraf dan Cebastian hari ini meneruskan momentum positif skuad judo Selangor dalam usaha menyumbang lebih banyak pingat kepada kontinjen tuan rumah pada SUKMA 2026.







