
SHAH ALAM, 15 OGOS: Kejayaan skuad bola tampar pantai wanita Selangor meraih pingat emas pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 disifatkan sebagai kemenangan mengejutkan selepas menewaskan gandingan yang dibarisi pemain kebangsaan pada aksi final, hari ini.
Ketua Jurulatih Bola Tampar Pantai Wanita Selangor, Khoo Chong Long berkata kemenangan gandingan adik-beradik Rachael Goh Yu Jie dan Goh Yu Heng itu cukup bermakna buat pasukan dan negeri, lebih-lebih lagi selepas mereka berjaya menundukkan juara kebangsaan.
“Pastinya ini satu keputusan ‘upset’ kerana kami dapat kalahkan juara kebangsaan. Kedua-dua pemain kami adalah juara junior kebangsaan dan ini adalah kejayaan manis buat kami dan hadiah buat negeri Selangor,” katanya kepada Media Selangor.
Menurutnya, kemenangan itu membuktikan kemampuan Rachael dan Yu Heng untuk bersaing di peringkat lebih tinggi, selain menyerlahkan potensi mereka sebagai antara sandaran Selangor dalam kejohanan akan datang.
Chong Long berkata, kejayaan beraksi di hadapan penyokong sendiri turut menjadi suntikan semangat kepada Kontinjen Selangor dalam misi memburu kejuaraan keseluruhan SUKMA 2026.
Beliau berkata, gandingan Rachael dan Yu Heng akan dikekalkan untuk menyertai pelbagai kejohanan akan datang, termasuk SUKMA 2028.
“Mereka berdua masih muda dan kami akan kekalkan mereka untuk bersaing dalam kejohanan-kejohanan lain dan juga untuk temasya SUKMA 2028, di mana mereka kini adalah juara bertahan,” katanya.
Gandingan adik-beradik itu mencipta kejayaan selepas menewaskan Pulau Pinang A dalam aksi final menerusi kemenangan 21-16, 17-21, 15-11 untuk menghadiahkan pingat emas kepada Kontinjen Selangor.
Kem bola tampar pantai Selangor menutup saingan dengan satu pingat emas dan satu pingat perak selepas skuad lelaki Selangor B terpaksa menarik diri daripada aksi penentuan tempat ketiga akibat kecederaan, sekali gus terlepas peluang untuk meraih pingat gangsa.









