SUKMA 2026: Bangkit selepas ketinggalan, Selangor raih emas bola tampar pantai wanita

15 Ogos 2026, 9:39 AM
SUKMA 2026: Bangkit selepas ketinggalan, Selangor raih emas bola tampar pantai wanita

SHAH ALAM, 15 OGOS: Ketinggalan satu set tidak mematahkan semangat gandingan adik-beradik, Rachael Goh Yu Jie dan Goh Yu Heng bangkit menundukkan Pulau Pinang A untuk menghadiahkan pingat emas bola tampar pantai wanita kepada Kontinjen Selangor pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, hari ini.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri di Gelanggang Bola Tampar Pantai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), gandingan Selangor itu bangkit daripada kekalahan 16-21 pada set pertama sebelum memenangi dua set berikutnya 21-17, 15-11.

Pulau Pinang A yang dibarisi pemain kebangsaan terlebih dahulu menguasai permainan pada set pembukaan, namun Rachael dan Yu Heng kembali menemukan rentak untuk mengawal dua set berikutnya sekali gus menamatkan saingan sebagai juara.

Kejayaan itu bukan sahaja menghadiahkan emas buat Selangor, malah cukup bermakna buat Rachael selepas beliau sebelum ini sekadar meraih pingat perak pada SUKMA Sarawak.

Lebih manis, kejayaan kali ini diraih bersama adiknya, Yu Heng yang membuat penampilan sulung di pentas SUKMA.

“Satu kemenangan yang luar biasa. Kami tahu kami sudah tewas pada set pertama tetapi kami tidak berputus asa.

“Terima kasih kepada jurulatih dan adik saya yang bekerja keras untuk kejayaan ini,” katanya kepada Media Selangor.

Bagi Yu Heng, 16, kejayaan tersebut disifatkan sebagai sesuatu yang sukar dipercayai selepas berjaya meraih emas dalam penampilan pertama di temasya berkenaan.

“Saya sangat teruja untuk memenangi emas bersama-sama kakak saya dan saya masih tidak percaya kejayaan ini datang pada percubaan pertama saya di SUKMA,” katanya.

Sementara itu, dalam saingan lelaki, Perak A muncul juara untuk meraih pingat emas, manakala Terengganu A membawa pulang perak dan Terengganu B gangsa.

Skuad Selangor B pula terpaksa berpuas hati tanpa pingat selepas menarik diri pada set ketiga ketika ketinggalan 1-4 dalam aksi penentuan pingat gangsa akibat kecederaan.

Gandingan Selangor B sebelum itu memenangi set pertama 30-28 sebelum tidak dapat meneruskan permainan pada set berikutnya.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.