SUKMA 2026: Skuad gimrama tuai emas acara latihan berpasukan

15 Ogos 2026, 1:31 PM
SUKMA 2026: Skuad gimrama tuai emas acara latihan berpasukan

BANGI, 15 OGOS: Selangor menambah koleksi pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 selepas skuad gimrama mengungguli acara latihan berpasukan, hari ini.

Kejayaan itu diraih menerusi gandingan lima gimnas, Tang Sher Myn, Rache Chua Hui Xin, Lor Suen Nah, Ker Jia Wen dan Gan Yi Xin yang mempamerkan aksi kemas dan bertenaga untuk mengungguli acara berkenaan.

Jurulatih pasukan gimrama Selangor, Low Jun Mae berkata beliau amat berpuas hati dengan prestasi konsisten ditunjukkan anak buahnya sepanjang pertandingan.

Menurutnya, kejayaan itu membuktikan kesungguhan dan komitmen tinggi yang ditunjukkan semua gimnas dalam memastikan sasaran pasukan dapat direalisasikan.

Skuad gimrama Selangor mempamerkan aksi bertenaga dan memukau untuk meraih emas acara latihan berpasukan SUKMA 2026. Foto NAJAMUDDIN MOHD NOR/MEDIA SELANGOR

“Saya merasa bangga dengan pemain saya yang telah memberikan persembahan terbaik dan hari ini kita dapat pingat emas untuk Selangor,” katanya ketika ditemui Media Selangor di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini.

Terdahulu, skuad gimrama Selangor menampilkan persembahan konsisten menerusi empat rutin membabitkan bola, gelung, belantan dan riben untuk mengatasi cabaran kontinjen lain.

Kejayaan itu turut menyemarakkan momentum kontinjen Selangor dalam pemburuan pingat pada temasya SUKMA 2026 yang berlangsung sehingga 24 Ogos ini.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.