Sabah harap SUKMA Selangor 2026 diteruskan dalam skala kecil

24 Apr 2026, 8:11 AM
Sabah harap SUKMA Selangor 2026 diteruskan dalam skala kecil

SHAH ALAM, 24 APRIL: Kerajaan Sabah berharap Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor dapat diteruskan mengikut jadual, tetapi dalam skala lebih kecil meskipun terdapat saranan ia ditunda.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata pihaknya telah membuat persiapan termasuk menyediakan dana bagi menghadapi temasya tersebut, lapor Utusan Borneo Online.

Menurutnya, penganjuran SUKMA tahun ini penting kerana sebahagian usaha untuk mempersiap atlet bagi menghadapi Sukan SEA 2027.

“Bagi Sabah, kita sudah mengeluarkan belanja untuk persiapan atlet dan program latihan. Jadi pada saya, sebaiknya SUKMA diteruskan dalam skala sederhana. Bagaimanapun, kita serahkan kepada kebijaksanaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Kerajaan Selangor untuk membuat keputusan terbaik,” katanya.

Pada 20 April, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor mencadangkan penganjuran SUKMA Selangor 2026 ditangguhkan sehingga krisis di Asia Barat selesai dan Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah ia berikutan penganjuran temasya dwitahunan itu memerlukan peruntukan sangat tinggi dalam keadaan ekonomi semasa.

Susulan saranan Baginda itu, beberapa negeri antaranya Sarawak berharap temasya dwitahunan diteruskan selepas mengambil kira persiapan rapi termasuk latihan di luar negara, selain pelbagai kos telah dibelanjakan termasuk tempahan penginapan, logistik dan latihan atlet.

Terengganu dan Kelantan juga berharap kejohanan tersebut dapat diteruskan walaupun dalam skala kecil, selepas mengambil kira persiapan hampir dua tahun sejak berakhirnya SUKMA 2024 di Sarawak.

Pada Rabu, Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata sebarang keputusan mengenai penganjuran SUKMA Selangor 2026, akan diketahui selepas mesyuarat jawatankuasa khas temasya itu yang dijangka akan diadakan pada 30 April.

Selain itu, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Selangor, Azmizam Zaman Huri menyarankan KBS menyuntik dana kepada penganjur SUKMA 2026 bagi meringankan beban kewangan ditanggung Kerajaan Selangor.

SUKMA edisi ke-22 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos manakala PARA SUKMA pula dari 5 hingga 10 September.

Sebanyak 474 acara daripada 37 jenis sukan dipertandingkan di sembilan daerah membabitkan 52 venue pertandingan, manakala Para SUKMA membabitkan 10 jenis sukan dan 316 acara.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.