Sultan cadang SUKMA Selangor ditangguh hingga krisis Asia Barat selesai

20 Apr 2026, 3:55 AM
Sultan cadang SUKMA Selangor ditangguh hingga krisis Asia Barat selesai
Sultan cadang SUKMA Selangor ditangguh hingga krisis Asia Barat selesai

SHAH ALAM, 20 APRIL: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor mencadangkan penganjuran Sukan Malaysia XXII (SUKMA) Selangor 2026 ditangguhkan sehingga krisis di Asia Barat selesai dan Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah ia berikutan penganjuran temasya dwitahunan itu memerlukan peruntukan sangat tinggi dalam keadaan ekonomi semasa.

"Dalam keadaan ekonomi semasa, Beta berpandangan adalah lebih wajar penganjuran itu ditangguhkan sehingga krisis di "Middle East" selesai dan Stadium Shah Alam siap sepenuhnya," titah Baginda.

Baginda bertidah demikian sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.

Ketegangan di Asia Barat meruncing sejak 28 Februari lalu, susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran, diikuti serangan balas Tehran terhadap kepentingan AS di negara Teluk.

Susulan itu, Iran mengambil langkah drastik menutup dan menyekat Selat Hormuz, laluan penting bagi hampir satu perlima bekalan minyak dunia sebagai respon terhadap konflik tersebut.

Permandangan proses perobohan Stadium Shah Alam ketika tinjauan di Seksyen 13, Shah Alam pada 11 November 2024. Foto ZULFADHLI ZAKI/MEDIA SELANGOR

Sementara projek pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam dijangka siap sepenuhnya sekitar 2029 hingga 2030, dengan struktur stadium baharu dijangka siap menjelang 2029.

Pada 9 April, Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari mengesahkan sukan dwitahunan itu diteruskan mengikut jadual dari 15 hingga 24 Ogos ini.

Keputusan dibuat selepas mesyuarat yang turut dihadiri EXCO Sukan Selangor Najwan Halimi menimbang semua aspek secara teliti dan menyeluruh termasuk persiapan penganjur dan barisan atlet negeri.

Selangor memulakan penganjuran SUKMA 2026 genap setahun sebelum kejohanan dibuka dengan pelancaran logo dan maskot pasangan Helang Putih oleh Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari pada 15 Ogos 2025.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari (tengah) melancarkan Maskot SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026 di Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Shah Alam pada 15 Ogos 2025 . Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Majlis pelancaran itu turut mengumumkan tema SUKMA 2026, “Rentak Kita, Aksi Kita”.

SUKMA XXII dijangka mempertandingkan 474 acara daripada 37 jenis sukan, membabitkan 53 venue di sembilan daerah di Selangor termasuk penggunaan velodrom nasional di Negeri Sembilan.

Penganjuran oleh Selangor ini juga adalah yang kedua terakhir sebelum Kementerian Belia dan Sukan berhasrat menyemak semula SUKMA.

Pada 7 Ogos 2025, Menteri Belia dan Sukan ketika itu Hannah Yeoh berkata Kelantan mungkin menjadi negeri terakhir menganjurkan SUKMA dalam usaha memperkenal model baharu bagi temasya sukan itu.

Selepas Selangor, SUKMA seterusnya dijadual berlangsung di Kelantan pada 2028. Sebelum itu, pada 2027, Malaysia bakal menjadi tuan rumah untuk penganjuran edisi ke-34 Sukan Sea.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.