SHAH ALAM, 21 APRIL: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) disaran menyuntik dana kepada penganjur Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 bagi meringankan beban kewangan ditanggung Kerajaan Selangor susulan ketidaktentuan ekonomi semasa.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Selangor, Azmizam Zaman Huri berkata temasya dwi-tahunan itu dilihat sebagai agenda nasional dan tidak wajar dibebankan kepada penganjur semata-mata.
“Penganjuran temasya ini memerlukan komitmen kewangan yang besar melibatkan pelbagai aspek seperti penyediaan tempat, logistik, pengurusan atlet, keselamatan serta keseluruhan pengurusan temasya.
“Dalam konteks ini, Pelabuhan Klang melihat komitmen perbelanjaan tersebut banyak bergantung kepada Kerajaan Negeri.
“Pelabuhan Klang mencadangkan KBS mempertimbangkan untuk menyalur sokongan serta suntikan dana bagi menampung kos penganjuran. Dalam masa sama dapat peringankan kos dikeluarkan Selangor,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sempena istiadat pembukaan menyuarat pertama (pembukaan) persidangan penggal keempat Dewan Negeri Selangor (DNS) yang ke-15.
Semalam, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mencadangkan penganjuran SUKMA 2026 ditangguhkan sehingga krisis di Asia Barat selesai kerana memerlukan peruntukan tinggi selain sehingga siapnya Stadium Shah Alam.
Mengulas lanjut, wakil rakyat Pelabuhan Klang itu berkata sekiranya SUKMA mahu ditangguh mahupun diteruskan, semua aspek perlu diperhalusi secara menyeluruh dan menyentuh semua aspek.
Ia termasuk mengambil kira penglibatan semua pemegang taruh termasuk wakil Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan, agensi serta wakil negeri lain demi memastikan keputusan seimbang sekali gus mengutamakan pembangunan sukan.
“Tidak dinafikan SUKMA mempunyai nilai strategik tinggi. Bukan sahaja menjadi platform pembangunan atlet muda, malah turut menyumbang kepada peningkatan prestasi sukan negara.
“Penganjuran SUKMA juga berpotensi merancakkan ekonomi setempat melalui peningkatan aktiviti pelancongan, perkhidmatan dan perniagaan tempatan selain memperkukuh perpaduan rakyat,” katanya.
Susulan titah Sultan Selangor, Menteri KBS Dr Mohammed Taufiq Johari berkata pihaknya akan mengadakan mesyuarat khas Jawatankuasa Tertinggi SUKMA 2026 bagi membincangkan secara terperinci dan menyeluruh.
Menurutnya, mesyuarat itu akan melibatkan semua negeri, Majlis Sukan Negara serta Majlis Olimpik Malaysia.
SUKMA kali ke-22 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos depan. PARA SUKMA pula dari 5 hingga 10 September.
Sebanyak 474 acara daripada 37 jenis sukan dipertandingkan di sembilan daerah membabitkan 52 venue pertandingan, manakala PARA SUKMA membabitkan 10 jenis sukan dan 316 acara yang dipertandingkan di daerah Petaling dan Klang.








