SHAH ALAM, 21 APRIL: Kontinjen Terengganu berharap penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 diteruskan tetapi dengan skala lebih kecil susulan cabaran ekonomi semasa.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata pihaknya menjunjung kasih pandangan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berhubung cadangan penangguhan temasya itu akibat faktor ekonomi dan krisis Asia Barat.
Beliau bagaimanapun menegaskan keputusan tersebut terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kerajaan Selangor sebagai tuan rumah.
“Perkara ini, tentu sekali saya yakin pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menelitinya dengan lebih mendalam.
“Ia melibatkan tuan rumah. Jadi, bagi kita, kita tak boleh mencampuri urusan ini antara pihak Selangor dan juga pihak KBS.
“Bagi pihak kita di peringkat kontinjen Negeri Terengganu, tentu sekali kita berharap ia diteruskan,” katanya seperti dilapor portal TRDI, media rasmi negeri Terengganu.

Beliau berkata ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata walaupun pihaknya menghormati cadangan penangguhan, penganjuran SUKMA wajar diteruskan agar tidak menjejaskan atlet yang telah membuat persiapan.
“Mungkin pihak Majlis Sukan Negara (MSN) boleh meneruskan dengan format sepertimana penganjuran di Kuala Lumpur sebelum ini, kerana usaha untuk menjayakan SUKMA telah melibatkan satu perbelanjaan yang tinggi dan atlet-atlet yang pelbagai.
“Ada atlet yang menangguhkan pengajian, ada atlet yang menangguhkan kerja dan seumpamanya. Jika ditangguhkan lagi, ia akan memberikan kesan banyak kepada atlet-atlet terlibat.
“Dalam masa sama, mungkin boleh dipertimbangkan penganjuran ini diteruskan dengan skala yang lebih kecil seperti pandangan Menteri KBS, Dr Mohammed Taufiq Johari tempoh hari dan kita boleh meneliti aspek-aspek lain dalam menjamin penjimatan di peringkat penganjuran temasya,” tambahnya.
Semalam, Sultan Sharuddin Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mencadangkan penganjuran SUKMA 2026 ditangguhkan sehingga krisis di Asia Barat selesai serta Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) baharu siap.
Baginda bertitah ia berikutan penganjuran temasya dwitahunan itu memerlukan peruntukan sangat tinggi dalam keadaan ekonomi semasa.
Sementara itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keputusan sama ada SUKMA 2026 ditangguhkan akan ditentukan oleh Jawatankuasa Tertinggi SUKMA.
SUKMA edisi ke-22 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos depan dengan upacara perasmian berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) manakala Para SUKMA pula dari 5 hingga 10 September.
Sebanyak 474 acara daripada 37 jenis sukan dipertandingkan di sembilan daerah membabitkan 52 venue pertandingan, manakala Para SUKMA membabitkan 10 jenis sukan dan 316 acara yang dipertandingkan di daerah Petaling dan Klang.







