Sedia persekitaran kondusif untuk atlet, Selangor teliti pusat latihan alternatif

21 Nov 2026, 12:57 AM
Sedia persekitaran kondusif untuk atlet, Selangor teliti pusat latihan alternatif
Sedia persekitaran kondusif untuk atlet, Selangor teliti pusat latihan alternatif
Sedia persekitaran kondusif untuk atlet, Selangor teliti pusat latihan alternatif

SHAH ALAM, 21 NOV: Kerajaan Negeri sedang meneliti penggunaan pusat latihan alternatif bagi memastikan atlet Selangor mendapat akses kepada kemudahan dan persekitaran latihan lebih kondusif.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata langkah itu bertujuan memastikan atlet mendapat pendedahan latihan terbaik, sekali gus meningkatkan prestasi dan pencapaian dalam kejohanan yang disertai.

Menurutnya, Selangor mempunyai infrastruktur sukan yang baik dan boleh dimanfaatkan sepenuhnya, namun penggunaan kemudahan tertentu yang mendapat permintaan tinggi memerlukan penyelarasan lebih teratur.

“Kalau di Selangor, tidak ada sebab untuk menjadikan kemudahan pusat latihan sebagai alasan kerana infrastruktur sukan yang disediakan sangat baik dan bermanfaat untuk digunakan. Pada masa sama, kita lihat kemudahan seperti akuatik dan renang menjadi rebutan walaupun menunjukkan prestasi baik.

“Bagaimanapun, Majlis Sukan Negeri (MSN) akan meneliti keperluan dan kesesuaian setiap pasukan, termasuk tidak menolak kemungkinan mencari lokasi atau pusat latihan lain sebagai alternatif.

“Ia bagi menjamin kualiti latihan atlet, termasuk mengelakkan pertindihan jadual dan masa latihan yang boleh menjejaskan persiapan mereka. MSN akan melihat semua aspek bagi memastikan atlet mendapat pendedahan serta program pembangunan yang lebih berkesan,” katanya.

Beliau ditemui pada Malam Kecemerlangan Sukan Negeri Selangor 2026 yang dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mohd Najwan berkata pihaknya turut mengenal pasti beberapa kelemahan dalam sukan tertentu yang kurang menyumbang pingat pada Sukan Malaysia (SUKMA) baru-baru ini.

Katanya, hasil bedah siasat prestasi mendapati aspek pengurusan pasukan dan persatuan sukan perlu diperkukuh bagi memastikan kejayaan atlet disokong oleh sistem pembangunan yang lebih mantap.

“Itu yang kita lakukan menerusi bedah siasat baru-baru ini apabila mengenal pasti beberapa kelemahan dalam persatuan sukan tertentu. Kita tidak boleh melihat kejayaan semata-mata daripada usaha atlet kerana pengurusan pasukan dan persatuan juga perlu diperkukuh.

“MSN akan mengenal pasti persatuan atau sukan yang kurang memberangsangkan dari segi pencapaian untuk ditambah baik, termasuk mutu kejurulatihan, pengurusan serta penyediaan program dan latihan lebih baik kepada atlet,” katanya.

Untuk rekod, kontinjen Selangor muncul juara keseluruhan SUKMA dengan kutipan 101 pingat emas, 73 perak dan 71 gangsa.

Kontinjen Para SUKMA turut mencipta sejarah apabila muncul juara keseluruhan buat kali pertama sejak temasya itu diperkenalkan pada 1982, dengan kutipan 93 pingat emas, 55 perak dan 52 gangsa.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.