Sarawak mahu SUKMA 2026 diteruskan, ambil kira persiapan semua negeri

24 Apr 2026, 12:18 AM
Sarawak mahu SUKMA 2026 diteruskan, ambil kira persiapan semua negeri

SHAH ALAM, 24 APRIL: Sarawak mahu Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 diteruskan mengikut jadual meskipun Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor mencadangkan temasya itu ditangguhkan.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata pendirian itu mengambil kira persiapan rapi serta komitmen besar yang telah dilaksanakan semua negeri dan atlet.

“Kami menghormati cadangan Tuanku (Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj), namun kita juga perlu melihat perkara ini dari pelbagai sudut.

“Bukan Sarawak sahaja yang membuat persiapan untuk SUKMA. Semua negeri di Malaysia telah bersedia untuk temasya ini,” katanya seperti dilapor Utusan Borneo.

Menurutnya, pelbagai kos telah dibelanjakan termasuk tempahan penginapan, logistik dan latihan atlet.

“Banyak perbelanjaan telah dibuat sebagai persiapan SUKMA seperti hotel, rumah inap (homestay) dan latihan.

“Deposit telah dibayar dan ramai atlet kita dihantar ke luar negara termasuk ke China dan Taiwan,” katanya.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata, penangguhan juga boleh menjejaskan atlet yang berdepan had umur penyertaan 21 tahun.

“Jika temasya ditangguhkan ke tahun depan atau lebih lama, ramai atlet akan melebihi had umur dan kehilangan peluang untuk bertanding.

“Jadi harapan saya adalah agar SUKMA diteruskan. Walaupun melibatkan jutaan ringgit, lebih baik kita teruskan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan lawatan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari ke Kuching hujung bulan ini telah dirancang lebih awal.

“Ini mungkin kali pertama beliau datang ke sini sejak dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan.

“Secara sampingan, memandangkan beliau berada di sini, isu SUKMA mungkin akan dibangkitkan, tetapi secara tidak rasmi,” katanya.

Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif SUKMA dijadual berlangsung pada 30 April bagi mendapatkan pandangan semua negeri sebelum keputusan muktamad dibuat.

Pada 20 April lalu, Sultan Selangor mencadangkan penganjuran Sukan Malaysia XXII (SUKMA) Selangor 2026 ditangguhkan sehingga krisis di Asia Barat selesai dan Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.

Baginda bertitah ia berikutan penganjuran temasya dwitahunan itu memerlukan peruntukan sangat tinggi dalam keadaan ekonomi semasa.

"Dalam keadaan ekonomi semasa, Beta berpandangan adalah lebih wajar penganjuran itu ditangguhkan sehingga krisis di "Middle East" selesai dan Stadium Shah Alam siap sepenuhnya," titah Baginda.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.