Selangor salur RM6.4 juta insentif kemenangan atlet SUKMA, Para SUKMA

21 Nov 2026, 12:00 AM
Selangor salur RM6.4 juta insentif kemenangan atlet SUKMA, Para SUKMA
Selangor salur RM6.4 juta insentif kemenangan atlet SUKMA, Para SUKMA
Selangor salur RM6.4 juta insentif kemenangan atlet SUKMA, Para SUKMA
Selangor salur RM6.4 juta insentif kemenangan atlet SUKMA, Para SUKMA
Selangor salur RM6.4 juta insentif kemenangan atlet SUKMA, Para SUKMA
Selangor salur RM6.4 juta insentif kemenangan atlet SUKMA, Para SUKMA

SHAH ALAM, 21 NOV: Selangor memperuntukkan insentif RM6.4 juta kepada atlet, pengurusan pasukan dan persatuan sukan yang menyumbang pingat pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA 2026.

Daripada jumlah itu, RM4.04 juta diperuntukkan kepada penerima insentif SUKMA, manakala RM2.35 juta untuk Para SUKMA.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pasukan akuatik mencatat pencapaian cemerlang dalam SUKMA dengan menyumbangkan 23 pingat emas, 11 perak dan 15 gangsa, sekali gus menerima insentif RM668,000.

“Bagi Para SUKMA pula, pasukan Para Renang muncul penyumbang pingat terbanyak menerusi 34 emas, enam perak dan 20 gangsa, melayakkan pasukan itu menerima insentif RM881,500.

“Kerajaan Negeri berharap insentif ini dapat menjadi tanda penghargaan terhadap segala usaha dan pengorbanan atlet, selain pembakar semangat untuk mereka terus mencapai kejayaan lebih besar,” katanya pada Malam Kecemerlangan Sukan Negeri Selangor 2026 di sini, hari ini.

Selangor selaku tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA 2026 melakar kejayaan berganda apabila muncul juara keseluruhan bagi kedua-dua temasya itu.

Kontinjen SUKMA Selangor mengungguli temasya dengan kutipan 101 pingat emas, 73 perak dan 71 gangsa, manakala kontinjen Para SUKMA meraih 93 emas, 55 perak dan 52 gangsa.

Sementara itu, Amirudin memaklumkan insentif RM89,200 turut diperuntukkan kepada atlet Selangor yang menyumbangkan pingat pada Sukan Asia 2026 dan Sukan Para Asia 2026 di Aichi dan Nagoya, Jepun, baru-baru ini.

Katanya, seramai 45 atlet Selangor terpilih mewakili Malaysia dalam kedua-dua temasya itu, dengan 17 daripada mereka berjaya menyumbangkan pingat kepada negara.

“Pada Sukan Asia, atlet Selangor menyumbangkan dua pingat emas, dua perak dan tiga gangsa, manakala pada Sukan Para Asia, mereka meraih satu perak dan enam gangsa.

“Selain itu, seorang atlet para negeri turut mewakili Malaysia dalam acara Para Olahraga pada Sukan Komanwel Glasgow, Scotland, yang menyaksikan kontinjen negara menduduki tempat ke-10 keseluruhan daripada 74 negara.

“Sebagai menghargai sumbangan atlet-atlet ini, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan insentif berjumlah RM89,200,” katanya.

Terdahulu, Amirudin diiringi EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi dan Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Mohamad Nizam Marjugi menyampaikan 11 Anugerah Sukan Negeri Selangor 2025 kepada atlet dan penggiat sukan yang mencatat pencapaian serta sumbangan cemerlang sepanjang tahun lalu.

Anugerah Olahragawan diberikan kepada atlet tenpin boling, Tun Ameerul Luqman Al Hakim Tun Hasnul Azam, manakala Anugerah Olahragawati dimenangi rakan senegaranya dalam sukan sama, Natasha Mohamed Roslan.

Bagi kategori para, Anugerah Olahragawan Para diberikan kepada atlet olahraga Muhammad Ziyad Zolkefli, manakala Anugerah Olahragawati Para menjadi milik atlet renang, Lim Carmen.

Atlet renang Goh Li Jie pula menerima Anugerah Olahragawan Harapan, manakala atlet tenpin boling Qurratu’ain Izdihar Mohamad Pozi dinobatkan sebagai Olahragawati Harapan.

Selangor Red Giants membawa pulang Anugerah Pasukan Terbaik, sementara Anugerah Jurulatih Terbaik diberikan kepada jurulatih ragbi Mohammad Faiz Samsukhidir dan Anugerah Jurulatih Terbaik Para kepada Amrol Ambia (Para Olahraga).

Mimi Afzan Afza (Futsal) pula dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Sukan, manakala Anugerah Juri diberikan kepada Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM Shah Alam.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.