Insentif SUKMA 2026: Selangor peruntuk RM4.017 juta untuk atlet, persatuan, pegawai

17 Nov 2026, 6:02 AM
Insentif SUKMA 2026: Selangor peruntuk RM4.017 juta untuk atlet, persatuan, pegawai

SHAH ALAM, 17 NOV: Sejumlah RM4.017 juta diperuntukkan sebagai insentif kepada atlet, persatuan sukan dan pegawai yang menyumbang pingat untuk Selangor pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata, daripada jumlah itu, RM3.634 juta disediakan untuk atlet yang meraih pingat emas, perak dan gangsa, manakala RM191,250 masing-masing diperuntukkan kepada persatuan sukan serta pegawai yang terlibat dalam pengurusan pasukan.

"Pegawai yang terlibat dalam pengurusan pasukan seperti pengurus, jurulatih, kaperon atau pegawai turut menerima insentif berjumlah RM191,250," katanya pada sesi pertanyaan lisan di Persidangan Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Mengikut kadar insentif, setiap atlet yang memenangi pingat emas menerima antara RM7,000 hingga RM15,000 bergantung pada bilangan atlet dalam acara berkenaan.

Pemenang pingat perak pula menerima antara RM1,000 hingga RM2,000, manakala pingat gangsa antara RM750 hingga RM1,000 seorang.

Bagi persatuan sukan dan pengurus pasukan, insentif ditetapkan sebanyak RM1,000 bagi pingat emas, RM750 (perak) dan RM500 (gangsa).

Mengulas lanjut, Mohd Najwan berkata penglibatan kesemua daerah pada temasya dwitahunan itu bertujuan mempromosikan kemudahan dan infrastruktur sukan sedia ada.

Katanya, langkah itu membuka peluang kepada kemudahan sukan berpotensi untuk diketengahkan sebagai venue bagi penganjuran kejohanan sukan pada masa akan datang.

"Penganjuran ini memberi peluang kepada komuniti setempat untuk merasai kemeriahan penganjuran temasya sukan bertaraf kebangsaan di daerah masing-masing di samping menyaksikan penyertaan atlet dari seluruh negeri.

"Diharap penganjuran SUKMA kali ini dapat menjadi rujukan dan contoh kepada agensi-agensi berkaitan untuk terus merancang dan menganjurkan kejohanan sukan di setiap daerah," ujarnya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.