Peringatan Allah, jangan bermegah dengan kedudukan yang dimiliki

22 Feb 2026, 12:01 PM
Peringatan Allah, jangan bermegah dengan kedudukan yang dimiliki
Peringatan Allah, jangan bermegah dengan kedudukan yang dimiliki
Peringatan Allah, jangan bermegah dengan kedudukan yang dimiliki

SHAH ALAM, 22 FEB : Allah SWT mengingatkan manusia agar tidak meninggi diri atau bersikap angkuh dengan ilmu pengetahuan yang dimiliki, sebagaimana ditegaskan dalam ayat keempat Surah al-Mulk.

Timbalan Mufti Pahang, Dato’ Dr Badli Shah Alauddin berkata ayat tersebut turut mendidik manusia supaya sentiasa tunduk kepada kebesaran Allah SWT yang tiada sebarang cacat cela.

“Menerusi ayat ini, Allah SWT mencabar manusia supaya benar-benar melihat ciptaan-Nya yang tiada kecacatan, malah begitu sempurna. Allah SWT menyatakan bahawa manusia akan letih dan kecewa untuk menunjukkan kehebatan ilmu mereka kerana Allah SWT jauh lebih hebat.

“Ayat ini, kata ulama tafsir, Allah SWT mahu menundukkan kita, menutup pintu keangkuhan dan membuka pintu ketundukan kepada-Nya. Ini kerana apabila manusia terlalu cerdik, akan timbul sedikit kesombongan.

“Justeru, Allah SWT mendidik kita melalui ayat ini supaya tidak angkuh dengan ilmu yang ada, sebaliknya tunduk kepada kebesaran-Nya. Itulah puncak ilmu yang sebenar,” katanya menerusi program 30 Hari 30 Ayat al-Quran bersama Dato’ Menteri Besar sempena Ramadan.

Tangkap layar bacaan Surah al-Mulk oleh Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari dalam program 30 hari 30 ayat al-Quran sempena Ramadan.

Terdahulu, ayat keempat Surah al-Mulk dibacakan Dato’ Seri Amirudin Shari dengan bimbingan Pensyarah Pusat Kajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Ahmad Fakhrurrazi Mohammed Zabidi.

Dr Badli Shah menambah, sehebat mana pun kedudukan seseorang, mereka tidak seharusnya meninggi diri kerana seluruh makhluk Allah SWT seperti matahari, bulan, planet dan berbilion objek angkasa tunduk kepada-Nya.

“Kita tidak sepatutnya berasa besar dengan apa yang kita miliki kerana di alam ini kita hanyalah makhluk kecil. Namun Allah SWT menyatakan bahawa dalam kalangan makhluk-Nya, manusialah yang paling mudah bersikap sombong,” katanya.

Sebagai penutup kupasan, Amirudin mengajak umat Islam supaya sentiasa beringat dan memahami tujuan sebenar kehidupan di muka bumi ini, iaitu untuk mengesakan Allah SWT, beribadat serta beramal kepada-Nya.

“Selain meneroka bumi sebagai khalifah, kita mesti sentiasa ingat bahawa tujuan utama kita adalah untuk mengesakan Allah SWT, beribadat dan beramal di muka bumi dengan menyedari bahawa kita ialah hamba kepada Allah SWT yang maha berkuasa,” katanya.

Berikut episod sebelum ini:

Episod 1: Kupasan 30 Hari 30 Ayat bersama MB kembali mewarnai Ramadan

Episod 2: Kebesaran, kekuasaan Allah SWT meliputi seluruh alam

Episod 3: Hidup dan mati adalah ujian, ukurannya amal terbaik

Episod 4: Tingkat ketakwaan, renung kebesaran Allah di sekeliling kita