SHAH ALAM, 13 MAC: Umat Islam diingatkan sentiasa bersyukur atas nikmat dikurniakan Allah SWT termasuk tiga pancaindera utama iaitu pendengaran, penglihatan dan hati.
Pensyarah Pusat Kajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Ahmad Fakhrurrazi Mohammed Zabidi berkata nikmat tersebut seharusnya dimanfaatkan untuk memahami agama Islam.
Menurutnya, kebanyakan manusia menggunakan pancaindera hanya untuk kelangsungan hidup, namun tidak sepenuhnya untuk mendekatkan diri kepada agama.
“Rata-rata manusia menggunakan tiga pancaindera ini untuk kelangsungan hidup sahaja tetapi tidak digunakan untuk memahami agama dan tunduk pada agama.
“Sebab itu penting membaca Surah al-Mulk agar kita menggunakan nikmat tersebut untuk bersyukur kepada Allah. Nabi SAW juga pernah berdoa agar kita tergolong dalam kalangan yang sedikit kerana hanya sedikit manusia yang benar-benar bersyukur,” katanya.
Terdahulu, ayat berkenaan dibacakan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dengan bimbingan Dr Ahmad Fakhrurrazi menerusi program Tadabbur al-Quran 30 Hari 30 Ayat sempena Ramadan.
Amirudin turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mensyukuri nikmat Allah dengan merujuk ayat al-Quran yang menegaskan hanya segelintir manusia, sama ada daripada umat terdahulu mahupun kemudian, benar-benar menghargai nikmat dikurniakan.
Beliau berkata antara nikmat besar yang perlu disyukuri ialah pancaindera seperti penglihatan, pendengaran dan hati yang jernih, yang sepatutnya digunakan untuk meningkatkan keimanan kepada Allah serta melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi.
“Oleh itu, umat Islam diingatkan agar memanfaatkan nikmat tersebut dengan tunduk dan patuh kepada perintah Allah termasuk melaksanakan syariat serta amalan yang diwajibkan,” katanya.








