Surah Al-Mulk seru umat Islam kembali kepada fitrah (VIDEO)

20 Mac 2026, 10:00 AM
Surah Al-Mulk seru umat Islam kembali kepada fitrah (VIDEO)

SHAH ALAM, 20 MAC: Ayat ke-30 Surah Al-Mulk menyeru umat Islam kembali kepada fitrah dengan menekankan adab kepada Allah SWT dan sesama manusia sekali gus membentuk kesedaran tentang kebergantungan mutlak kepada-Nya.

Pensyarah Pusat Kajian al-Quran dan Al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata Surah Al-Mulk, disifatkan sebagai surah yang sarat dengan peringatan, pengajaran dan sentuhan rohani kepada umat Islam.

Menurut Dr Ahmad Fakhrurrazi Mohammed Zabidi, ayat tersebut yang menjadi penutup kepada surah itu membawa kepada pengakuan bahawa hanya Allah SWT yang Maha Berkuasa dan manusia seluruhnya bergantung kepada-Nya dalam setiap aspek kehidupan.

“Surah ini secara langsung dan tidak langsung membawa kita kepada satu kesedaran bahawa, kita beriman dengan zat yang wajib wujud sifatnya Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Itulah kelegaan mutlak yang diperlukan oleh umat Islam pada hari ini,” katanya.

Ayat berkenaan dibacakan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dengan bimbingan Dr Ahmad Fakhrurrazi menerusi program Tadabbur al-Quran 30 Hari 30 Ayat sempena Ramadan.

Sebagai penutup kupasan Amirudin berkata kefahaman terhadap Surah Al-Mulk perlu disertai dengan amalan berterusan bagi meningkatkan keyakinan serta memperoleh keberkatan dalam kehidupan.

“Semoga ayat ini yang kita amalkan pada setiap malam sebelum tidur atau lepas solat Isyak berserta pemahaman terhadap apa yang kita amalkan itu akan memberikan penambahan kepercayaan, keyakinan seterusnya keberkatan dan kerahmatan kepada diri kita.

“Kembali kepada fitrah, fitrah yang nyata sebagai hamba yang sedar bahawa Allah SWT yang ciptakan kita. Kita ada tanggungjawab untuk laksanakan dengan keyakinan sebagaimana penjelasan dalam Surah Al-Mulk,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.