ad

Mangsa banjir Selangor ditempatkan di PPS, calon SPM dibantu

25 Nov 2025, 3:11 PM
Mangsa banjir Selangor ditempatkan di PPS, calon SPM dibantu
Mangsa banjir Selangor ditempatkan di PPS, calon SPM dibantu
Mangsa banjir Selangor ditempatkan di PPS, calon SPM dibantu

SHAH ALAM, 25 NOV: Situasi banjir di Selangor hari ini menyaksikan perkembangan penting merangkumi operasi pemindahan, lawatan pemimpin negeri serta pengumuman bantuan segera kepada mangsa, selain tumpuan terhadap calon SPM yang terkesan.

Sehingga jam 10 malam, 23 PPS dibuka di tujuh daerah melibatkan 2,947 mangsa daripada 796 keluarga, meningkat berbanding 2,336 mangsa di 21 PPS pada jam 8 pagi tadi.

Kerajaan Negeri memaklumkan pemantauan di lapangan dipertingkat susulan hujan berterusan di beberapa kawasan.

Bantuan awal RM500 kepada keluarga terjejas banjir Jumaat ini

Bantuan awal RM500 kepada keluarga mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) akan mula disalurkan pada Jumaat ini, kata Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari. Beliau berkata proses itu dapat dilakukan sebaik sahaja semua mangsa melengkapkan pendaftaran di PPS, selain mengambil kira sebarang pertambahan keluarga yang berpindah.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Desa Aman, Kuala Selangor pada 25 November 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Amirudin ditemui selepas melawat mangsa di PPS Sekolah Kebangsaan Desa Aman petang tadi berkata bantuan tersebut melibatkan sekitar 750 keluarga yang terjejas di seluruh Selangor dan Kerajaan Negeri sedang memastikan setiap mangsa yang direkodkan menerima manfaat tanpa keciciran.

Pengangkutan khas untuk calon SPM

Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif memastikan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas banjir dapat menduduki peperiksaan dengan selamat. Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari, memaklumkan bahawa pengangkutan khas disediakan untuk pelajar yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) ke sekolah dan pusat peperiksaan.

Gelagat pelajar sebelum memasuki dewan bagi menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Kiaramas, Kuala Lumpur pada 25 November 2025. Foto Facebook BERNAMA

Selain itu, Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI akan menyalurkan peralatan menulis dan digital kepada calon terjejas. Langkah ini bertujuan memastikan urusan peperiksaan mereka berjalan lancar dan lebih selesa walaupun berada di PPS.

Selangor wujud papan pemuka pantau projek mitigasi banjir

Kerajaan Selangor bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri akan membangunkan satu papan pemuka dalam talian terbuka bagi membolehkan rakyat memantau perkembangan projek mitigasi banjir di seluruh negeri.

EXCO Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Izham Hashim, berkata projek itu turut melibatkan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, susulan aduan masyarakat yang sebelum ini tidak dapat melihat perkembangan projek secara langsung. Papan pemuka dijangka siap pada tahun hadapan.

Pihak media menaiki bot melalui Sungai Klang ketika lawatan tapak projek mitigasi banjir Selangor Maritime Gateway (SMG) di Kota Kemuning, Shah Alam pada 16 Jun 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Beliau menegaskan maklumat projek akan boleh diakses oleh rakyat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN), termasuk sebarang tindakan terhadap kontraktor jika terdapat isu pelaksanaan. Kenyataan itu dibuat selepas beliau meninjau projek mitigasi banjir Sungai Klang di Seksyen 23 hari ini.

JPN Selangor bekerjasama dengan pelbagai agensi

Jabatan Pendidikan Negeri Selangor bekerjasama dengan beberapa agensi, termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), bagi memastikan tiada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tercicir akibat bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh. Seramai 125 calon daripada 14 sekolah di negeri ini terjejas, dengan 118 calon akibat banjir dan 11 lagi akibat tanah runtuh.

Timbalan Pengarah Pendidikan Selangor (Sektor Pengurusan Sekolah), Mohd Azuan Mohd Nawawi, berkata calon diberi pilihan menduduki peperiksaan di pusat asal atau pusat berhampiran. Bagi memudahkan urusan, beberapa calon termasuk 57 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dusun Nanding, Hulu Langat, ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) memandangkan kawasan kediaman mereka terjejas banjir, manakala pusat peperiksaan tetap berjalan seperti biasa dengan pengawasan enam guru sepenuh masa.

Beliau menambah pihaknya turut mengenal pasti 558 calon berisiko dari 26 sekolah lain yang mungkin terjejas akibat bencana alam. Tahun ini, Selangor merekodkan 75,489 calon SPM melibatkan 502 pusat peperiksaan dengan seramai 8,720 petugas, termasuk pegawai peperiksaan dan sukarelawan, bagi memastikan peperiksaan berlangsung lancar dan selamat.

PM Anwar pesan calon SPM kekal tenang walau berdepan banjir

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menasihatkan semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), termasuk yang berada di negeri terjejas banjir, supaya menghadapi peperiksaan dengan tenang dan yakin terhadap kemampuan diri.

Beliau mendoakan agar usaha, doa dan ketabahan calon membuka pintu kejayaan yang lebih besar untuk masa depan mereka.

Gelagat pelajar sebelum memasuki dewan bagi menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Kiaramas, Kuala Lumpur pada 25 November 2025. Foto Facebook BERNAMA

Anwar turut memaklumkan bahawa kerajaan melalui Kementerian Pendidikan (KPM) dan pihak berkaitan berada dalam keadaan bersiap siaga, memastikan setiap calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan selamat, tersusun dan terjaga.

Semua calon SPM terjejas banjir hadir peperiksaan

Semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Selangor, termasuk calon persendirian yang terjejas banjir, hadir menduduki peperiksaan pada hari pertama hari ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari, berkata mesyuarat berhubung keperluan pelajar terkesan akan diadakan bagi memastikan mereka dapat menduduki peperiksaan dengan selesa. Ada pelajar yang berpindah ke lokasi selamat, menumpang di rumah kawan, atau berada di sekolah yang dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Beliau menambah, berdasarkan maklumat awal, semua pelajar hadir walaupun ada yang lewat, dan kerajaan negeri akan memberikan sokongan sepenuhnya. Sehingga kini, hanya kawasan Gombak dan Hulu Selangor yang tidak terjejas banjir.

Seorang mangsa membawa barangan keperluan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) susulan kejadian banjir yang melanda Taman Perumahan Saujana Aman ketika tinjauan hari ini.Foto BERNAMA