SHAH ALAM, 25 NOV: Seramai 750 keluarga terjejas banjir di seluruh Selangor yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) akan menerima bantuan awal berjumlah RM500.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pentdbiran negeri turut menyediakan pengangkutan kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang ditempatkan di PPS untuk ke sekolah.
Menurutnya Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI akan menyalurkan peralatan menulis dan digital kepada calon terjejas supaya urusan peperiksaan dapat diteruskan lebih selesa.
“Setakat jam 11.30 pagi tadi, seramai 2,784 mangsa ditempatkan di 21 PPS melibatkan penduduk sekitar Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Langat, Petaling dan Klang.
“Faktor utama kepada peningkatan paras air ini disebabkan taburan hujan melebihi jangkaan dan ini turut beri kesan kepada lapan negeri lain,” katanya menerusi kenyataan selepas mengadakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Khas pagi tadi.
Amirudin turut mengarahkan pihak tertentu supaya mempercepatkan projek tebatan banjir di beberapa kawasan tumpuan dan ianya akan diperincikan EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim petang ini.
“Di saat yang mencabar ini, saya mendoakan Allah SWT melindungi keselamatan seluruh rakyat Selangor terutamanya yang berada di PPS. Terima kasih kepada petugas negeri dan daerah yang bertungkus-lumus menyalur bantuan segera kepada rakyat,” katanya.




