ad

PM Anwar pesan calon SPM kekal tenang walau berdepan banjir

25 Nov 2025, 9:01 AM
PM Anwar pesan calon SPM kekal tenang walau berdepan banjir

SHAH ALAM, 25 NOV: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), termasuk di negeri yang sedang menghadapi banjir supaya menghadapi peperiksaan dengan tenang dan yakin terhadap kemampuan diri.

“Semoga usaha, doa dan ketabahan kalian membuka pintu kejayaan yang lebih besar untuk masa depan,” katanya menerusi hantaran di aplikasi X hari ini.

Anwar memaklumkan kerajaan melalui Kementerian Pendidikan (KPM) dan pihak berkaitan berada dalam keadaan bersiap siaga bagi memastikan setiap calon dapat menduduki peperiksaan dengan selamat, tersusun dan terjaga.

Pada hantaran itu, Perdana Menteri berkongsi video tinjauan hari pertama peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 11(1) yang melibatkan 228 calon oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Peperiksaan bertulis SPM 2025 bermula hari ini dengan Bahasa Melayu Kertas 1 melibatkan 413,372 calon mendaftar di 3,350 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Peperiksaan SPM berlangsung sehingga 23 Disember.

Setakat pagi tadi, lapan negeri terjejas banjir, iaitu Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah, Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Pahang.