ad

750 keluarga mangsa banjir Selangor terima bantuan awal RM500 mulai Jumaat

25 Nov 2025, 8:37 AM
750 keluarga mangsa banjir Selangor terima bantuan awal RM500 mulai Jumaat

KUALA SELANGOR, 25 NOV: Bantuan awal berjumlah RM500 kepada mangsa banjir yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) akan mula disalurkan pada Jumaat ini.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan kepada 750 keluarga terkesan akan diberikan sejurus proses pendaftaran selesai dilakukan di PPS.

“Kita jangka bantuan akan disalurkan minggu ini… Jumaat ini jika pendaftaran telah diselesaikan. Kita perlu tunggu semua yang berada di PPS daftar lengkap dahulu dan pada masa sama pantau dari semasa ke semasa jika ada penambahan.

“Jika ada pertambahan individu di PPS, mereka juga akan menerima bantuan,” katanya selepas melawat mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Desa Aman petang ini.

Sebelum ini, Amirudin memaklumkan seramai 750 keluarga terjejas banjir di seluruh Selangor yang berpindah ke PPS akan menerima bantuan awal RM500.

Beliau turut memaklumkan Kerajaan Negeri menyediakan pengangkutan kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang ditempatkan di PPS untuk ke sekolah.

Selain itu, Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI akan menyalurkan peralatan menulis dan digital kepada calon terjejas bagi memastikan urusan peperiksaan berjalan lancar dan lebih selesa.