ad

MB: Semua calon SPM terjejas banjir hadir peperiksaan, negeri bincang bantuan susulan

25 Nov 2025, 3:20 AM
MB: Semua calon SPM terjejas banjir hadir peperiksaan, negeri bincang bantuan susulan

SHAH ALAM, 25 NOV: Semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Selangor termasuk kategori persendirian yang terjejas banjir hadir menduduki peperiksaan pada hari pertama yang berlangsung hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perbincangan berhubung keperluan pelajar terkesan akan diadakan hari ini bagi memastikan mereka dapat menduduki peperiksaan seterusnya.

Menurutnya, selain berpindah ke lokasi selamat, ada juga pelajar SPM yang terjejas menumpang di rumah kawan selain terdapat juga sekolah dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS).

“Saya sedang dapatkan jumlah senarai pelajar SPM yang terkesan. Berdasarkan maklumat awal, semua datang (peperiksaan) hari ini walaupun ada yang terlewat. Kita akan bagi sokongan sepenuhnya supaya mereka boleh dapat tempat yang lebih selesa.

“Tengah hari nanti saya akan keluarkan kenyataan berhubung keseluruhan kejadian banjir. Setakat ini ada, hanya kawasan Gombak dan Hulu Selangor sahaja tidak terlibat banjir,” katanya selepas merasmikan program SELKitar di Foyer bangunan pentadbiran negeri (SUK) hari ini.

Amirudin berkata setakat 8 pagi tadi, sebanyak 21 PPS dibuka bagi menempatkan 2,336 mangsa dari 634 keluarga di seluruh negeri ini.

Menurutnya, kejadian banjir kali ini berpunca daripada kadar hujan yang tinggi manakala faktor ban pecah hanya dilaporkan berlaku di Sabak Bernam.

“Kita tak tahu berapa kadar hujan (semalam), air tetap melimpah dari Sungai Damansara walaupun projek segera sudah dilaksanakan dalam tempoh tiga, empat bulan ini. Saya nak lihat kesan projek segera ini,” katanya.

Amirudin ketika ucapan penangguhan sidang Dewan Negeri Selangor semalam berkata bantuan khas kepada mangsa banjir akan diumum hari ini selain mengadakan taklimat khas pengurusan bencana bagi menyelaras tindakan di lapangan dengan lebih teratur.