KUALA LUMPUR, 22 NOV: Situasi banjir di Selangor dan Perak semakin baik dengan jumlah mangsa yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) menurun kepada 2,151 orang daripada 615 keluarga petang ini, berbanding 2,315 mangsa daripada 689 keluarga pagi tadi.
Di SELANGOR, jumlah mangsa banjir yang berlindung di PPS mencatatkan pengurangan kepada 1,727 mangsa daripada 484 keluarga berbanding 1,884 mangsa daripada 532 keluarga pagi tadi.
Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Dato' Maharaja Lela menempatkan 397 mangsa, diikuti SK Parit Mahang (360), Sekolah Rendah Agama (SRA) Bukit Kuching (180), Dewan Orang Ramai Bukit Kuching Tengah (135), SK Rantau Panjang (4) dan SRA Batu 8 Ijok (120).
Selain itu, SK Jaya Setia (73), Kafa Integrasi Hidayah Bukit Cherakah (65), Dewan Orang Ramai Seri Harmoni menempatkan (36), SK Batu Arang (25), Balai Raya Kampung Sungai Kelambu (16), SK Sultan Abdul Aziz (223) dan SRA Pasangan (93).
Di PERAK, jumlah mangsa banjir yang masih berlindung di lima PPS di empat daerah terus menurun petang ini kepada 424 orang daripada 131 keluarga berbanding 479 orang daripada 157 keluarga pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan PPS SK Tanjung Belanja di Perak Tengah ditutup sepenuhnya pada 2 petang tadi apabila kesemua 53 orang daripada 25 keluarga dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing selepas banjir surut.
Mangsa banjir di PPS SRA Rakyat Padang Serai di daerah Manjung pula merekodkan sebanyak 129 mangsa daripada 38 keluarga manakala di PPS Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan di Hilir Perak kekal dengan 97 orang daripada 31 keluarga.
Di Kerian, jumlah mangsa banjir tidak berubah dengan 176 mangsa daripada 55 keluarga, termasuk 12 mangsa tanah runtuh daripada tiga keluarga masih berlindung di PPS SK Bukit Merah dan SK Parit Haji Aman manakala mangsa banjir di Larut, Matang dan Selama juga kekal dengan 10 orang daripada empat keluarga dan ditempatkan di PPS SK Batu Hampar.
-- BERNAMA






