Ban tebatan banjir dipecahkan dua kali, Selangor minta polis pantau

23 Nov 2026, 12:00 PM
Ban tebatan banjir dipecahkan dua kali, Selangor minta polis pantau

KUALA SELANGOR, 23 NOV: Kerajaan Selangor meminta polis meningkatkan pemantauan di kawasan ban enam, Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh susulan kejadian ban berkenaan dipecahkan sebanyak dua kali.

Dato’ Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari berkata berkata perbuatan itu dipercayai bertujuan membuka laluan bagi kegiatan pembuangan sampah haram di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, Pejabat Daerah dan Tanah diminta memaklumkan kepada polis supaya kawalan dilakukan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Saya minta pihak Pejabat Daerah selaku Pegawai Daerah memaklumkan kepada polis untuk melakukan kawalan di situ bagi mengelakkan ban itu dipecahkan lagi.

“Ini boleh menyebabkan banjir, tambahan pula kita sedang berdepan hujan dan air pasang besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau kawasan terjejas di RTB Sungai Buloh, di daerah Kuala Selangor hari ini.

Tambah Amirudin, polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu dan belum ada tangkapan setakat ini.

Sebelum ini, media melaporkan ban sungai di kawasan Parit Mahang dipecahkan sebanyak dua kali oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyumbang kepada kejadian banjir yang berlarutan hampir dua minggu.

Susulan kejadian itu, laporan polis dibuat, manakala kerja menampal semula ban dan penambahan pam air dilaksanakan bagi mempercepatkan proses penyurutan air.

Pada 21 November lalu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor turut memaklumkan sebanyak 16 pam bergerak ditempatkan di enam lokasi sekitar DUN Jeram, Ijok dan Bukit Melawati bagi membantu mengalirkan air bertakung.

Langkah itu dilaksanakan ketika Selangor bersiap siaga menghadapi fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku dari 23 hingga 27 November, khususnya di kawasan berisiko banjir.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.