SHAH ALAM, 26 JUN: Paras air di Kampung Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang, Banting yang dilanda banjir susulan kejadian ban pecah menunjukkan trend menurun sejak malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata kawasan itu mencatatkan penurunan paras air sebanyak 0.6 meter setakat jam 9.30 pagi tadi.
"Komander operasi melaporkan trend penurunan air di lokasi sebanyak dua kaki. Kerja-kerja pemantauan di lokasi masih dijalankan dari semasa ke semasa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata seramai 546 mangsa daripada 250 keluarga kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS), berbanding hanya lebih 30 mangsa yang direkodkan pada pagi semalam.
"Mereka terdiri daripada 295 lelaki dan 251 wanita. Daripada jumlah itu 241 adalah lelaki dewasa diikuti wanita dewasa (166), kanak-kanak lelaki dan perempuan (156) dan bayi lelaki dan perempuan (10).
"Ia diikuti lelaki dan wanita warga emas (28) serta lelaki dan wanita orang kurang upaya (OKU) (17)," katanya.
Terdahulu, media melaporkan kejadian ban pecah awal pagi semalam mengakibatkan 32 rumah di Taman Langat Utama 2 dinaiki air, dengan penduduk terjejas ditempatkan di PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) RTB Bukit Changgang.








