SHAH ALAM, 26 JUN: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntukkan RM30,000 bagi menyalurkan barangan keperluan kepada mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) RTB Bukit Changgang, hari ini.
Ketua Yayasannya, Ahmad Azri Zainal Nor berkata bantuan itu membabitkan pelbagai barangan keperluan termasuk bantal, selimut, toto, cerek elektrik, makanan ringan dan minuman bagi melengkapkan bantuan asas yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Hari ini saya turun ke SK RTB Bukit Changgang yang dijadikan sebagai PPS bagi menempatkan mangsa banjir akibat ban pecah di sini dan saya difahamkan ada lebih 500 mangsa ditempatkan di sini.
“Justeru, kita pihak Yayasan MBI membawa barangan keperluan seperti bantal, selimut, toto, cerek elektrik, makanan ringan dan minuman bagi melengkapkan persediaan yang telah disediakan oleh pihak JKM,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan di PPS berkenaan di sini, hari ini.

Ahmad Azri berkata pihaknya turut meneliti penyaluran bantuan tunai kepada mangsa yang layak selepas menerima data lengkap daripada pejabat daerah, termasuk laporan polis dan dokumen berkaitan bagi memastikan proses agihan dapat dilaksanakan dengan lancar.
Menurutnya, semua mangsa banjir digalakkan mendaftar di PPS bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada menerima pelbagai bantuan yang disediakan kerajaan dan agensi berkaitan.
“Saya menggalakkan semua mangsa banjir supaya berdaftar di PPS kerana terdapat pelbagai bentuk bantuan daripada Yayasan MBI, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN).
“Menerusi pendaftaran ini, mangsa tidak akan tertinggal daripada menerima bantuan yang boleh meringankan beban mereka,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Azri berkata pihaknya telah berhubung dengan UPBN bagi menyelaras operasi pembersihan rumah mangsa sebaik sahaja penduduk dibenarkan pulang.
“Kita akan melibatkan kerja pembersihan daripada beberapa sukarelawan seperti Pasukan Sukarelawan Selangor (SERVE), Selangor Youth Community (SAY) dan sukarelawan mahasiswa.
“Pasukan sukarelawan ini juga akan digerakkan membersihkan kawasan sekolah yang dijadikan PPS bagi memastikan sesi persekolahan dapat diteruskan seperti biasa sebaik sahaja mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa berkaitan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan kejadian ban pecah awal pagi semalam mengakibatkan 32 rumah di Taman Langat Utama 2 dinaiki air, dengan penduduk terjejas ditempatkan di PPS SK RTB Bukit Changgang.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, seramai 546 mangsa daripada 250 keluarga kini ditempatkan di PPS, berbanding hanya lebih 30 mangsa yang direkodkan pada pagi semalam.









