Banjir Selangor: 16 pam bergerak ditempatkan di enam lokasi

21 Nov 2026, 12:00 PM
Banjir Selangor: 16 pam bergerak ditempatkan di enam lokasi
Banjir Selangor: 16 pam bergerak ditempatkan di enam lokasi
Banjir Selangor: 16 pam bergerak ditempatkan di enam lokasi

SHAH ALAM, 21 NOV: Sebanyak 16 pam bergerak ditempatkan di enam lokasi bagi mempercepat pengaliran keluar air bertakung susulan banjir yang melanda 10 kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram, Ijok dan Bukit Melawati.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor memaklumkan banjir dipercayai berpunca daripada limpahan Sungai Buloh serta aliran air larian permukaan dari Kota Puteri dan Puncak Alam.

"Sebanyak 16 unit pam bergerak telah ditempatkan di enam lokasi bagi membantu mempercepatkan proses pengepaman dan pengaliran keluar air bertakung," katanya kepada Media Selangor.

Menurut JPS, lima pam ditempatkan di Jalan Parit Mahang, manakala empat lagi di Parit Merbau, Bukit Kuching.

Di Ijok, dua pam ditempatkan di Jalan Abdul Aziz dan dua lagi di Compartment D. Di Parit Mahang pula, dua pam ditempatkan di Jalan Surau, manakala satu lagi di Parit Gajah.

Selain penempatan pam bergerak, JPS turut mengoperasikan rumah pam di Parit Gajah, Compartment D, Parit BCXYZ, Compartment B dan Parit Merbau.

Lokasi terjejas ialah Kampung Bukit Hijau, Kampung Bukit Kuching, Kampung Bukit Kuching Tengah, Kampung Bukit Cherakah dan Kampung Bukit Kerayong.

Turut terlibat ialah Kampung Simpang 3 Jeram, Kampung Parit Mahang, Kampung Ijok, Kampung Harmoni dan Kampung Jaya Setia.

Sementara itu, JPS memaklumkan kerja penyelenggaraan semula sistem saliran bermula pada 29 September lalu dan dijadualkan berlangsung sehingga 8 Disember ini.

Penyelenggaraan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) pula dilaksanakan tiga pusingan setiap tahun.

"Usaha ini bertujuan meningkatkan keberkesanan sistem saliran dan mengurangkan risiko serta impak kejadian banjir di kawasan terlibat," menurut jabatan itu.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengarahkan pengurusan aliran air dari hulu hingga hilir diperkukuh melalui penyelarasan antara daerah dan agensi teknikal.

Antara lokasi yang diberi perhatian ialah Johan Setia, Parit Mahang, Bukit Kuching, Bukit Hijau dan Batu 7, Ijok.

Amirudin berkata isu saliran berkaitan pembangunan dan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), selain kerosakan benteng akibat vandalisme, memerlukan tindakan pembaikan khusus.

Kejadian banjir berulang di Masjid Taufiqiah, Sungai Buloh turut memerlukan tindakan sama.

Beliau juga mengarahkan pemeriksaan terhadap dua projek pembangunan berkeluasan 15 ekar dan lima ekar di sekitar Saujana Aman susulan banjir yang menjejaskan kediaman penduduk.

Menurutnya, kedua-dua projek itu dikenal pasti memberi kesan terhadap peningkatan limpahan air di kawasan berkenaan.

Katanya, Kerajaan Negeri bersama JPS dan agensi berkaitan akan menumpukan usaha menaik taraf sistem saliran, membina serta meninggikan benteng dan melancarkan aliran air.

Usaha itu turut merangkumi pewartaan kawasan tadahan dan dataran banjir.

Foto Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.