Baru lima hari berpantang, ibu cemas rumah dinaiki air

26 Jun 2026, 2:00 PM
Baru lima hari berpantang, ibu cemas rumah dinaiki air
Baru lima hari berpantang, ibu cemas rumah dinaiki air
Baru lima hari berpantang, ibu cemas rumah dinaiki air

SHAH ALAM, 26 JUN: Tempoh berpantang yang sepatutnya menjadi fasa pemulihan bertukar detik mencemaskan buat seorang ibu muda apabila kediamannya dinaiki air secara tiba-tiba akibat ban pecah, memaksanya menyelamatkan diri bersama suami dan dua anak kecil.

Enira Amirah Yusra Norhashidan, 24, berkata kejadian berlaku sebaik beliau pulang dari klinik selepas membawa bayi berusia lima hari menjalani pemeriksaan jaundis apabila mendapati paras air di jalan utama menuju ke rumahnya meningkat dengan cepat.

Menurutnya, keadaan bertambah cemas apabila air mula memasuki kawasan rumah, sedangkan beliau masih dalam tempoh berpantang dan hanya bersama suami serta dua anak.

Enira Amirah Yusra Norhashidan, 24,

“Saya baharu balik dari klinik. Dalam perjalanan dah nampak air melimpah di atas jalan, dan apabila sampai di rumah paras air semakin tinggi.

“Saya memang cemas sebab masih dalam pantang. Mujur suami sempat menyelamatkan barang-barang berharga sebelum air naik,” katanya ketika ditemui Media Selangor di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) RTB Bukit Changgang, hari ini.

Enira berkata, sepanjang 10 tahun menetap di kawasan itu, kejadian tersebut merupakan banjir kedua dialaminya dan kali ini berlaku ketika beliau sedang menjalani tempoh berpantang selepas melahirkan anak kedua.

Mohd Syahril Mulyadi Mohd Ramli, 44,

Sementara itu, Mohd Syahril Mulyadi Mohd Ramli, 44, berkata beliau sedang bersiap untuk ke tempat kerja apabila air mula naik sebelum parasnya meningkat dengan pantas sehingga memasuki rumah dan merosakkan pelbagai perabot.

“Pada mulanya air naik perlahan, tetapi tidak lama kemudian arus menjadi deras. Banjir kali ini memang mengejutkan. Memang pernah banjir pada 2021, tetapi kali ini air naik jauh lebih cepat, mungkin disebabkan ban pecah.

“Terima kasih kepada Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI yang menghulurkan bantuan kepada kami,” katanya.

Diyanah Sidiq, 43,

Bagi Diyanah Sidiq, 43, beliau mula menyedari paras air longkang semakin meningkat ketika menghantar anak ke sekolah pada awal pagi.

“Apabila pulang ke rumah, air sudah memasuki bahagian dapur. Saya terus membawa anak-anak mendaftar di pusat pemindahan sementara.

“Ini kali kedua kami berdepan banjir sepanjang lebih 10 tahun tinggal di sini. Selepas pengalaman pertama, kami memilih membeli perabot yang lebih sederhana kerana bimbang kejadian sama berulang,” katanya.

Terdahulu, Yayasan MBI memperuntukkan RM30,000 bagi menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SK RTB Bukit Changgang.

Ketua Yayasannya, Ahmad Azri Zainal Nor, berkata bantuan itu meliputi pelbagai barangan keperluan seperti bantal, selimut, toto, cerek elektrik, makanan ringan dan minuman sebagai pelengkap kepada bantuan asas yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Media sebelum ini melaporkan kejadian ban pecah awal pagi semalam menyebabkan 32 rumah di Taman Langat Utama 2 dinaiki air, sekali gus memaksa penduduk dipindahkan ke PPS SK RTB Bukit Changgang.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar, berkata seramai 546 mangsa daripada 250 keluarga kini berlindung di PPS berkenaan, meningkat berbanding lebih 30 mangsa yang direkodkan pada pagi semalam.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.