Selangor perlu siap siaga hadapi air pasang besar dijangka 23 hingga 27 November

20 Nov 2026, 3:28 AM
Selangor perlu siap siaga hadapi air pasang besar dijangka 23 hingga 27 November
Selangor perlu siap siaga hadapi air pasang besar dijangka 23 hingga 27 November
Selangor perlu siap siaga hadapi air pasang besar dijangka 23 hingga 27 November
Selangor perlu siap siaga hadapi air pasang besar dijangka 23 hingga 27 November

KUALA SELANGOR, 20 NOV: Selangor perlu bersiap siaga sepenuhnya bagi menghadapi fenomena air pasang besar yang diramalkan berlaku bermula Isnin hingga Jumaat depan, terutama sekiranya bertembung dengan taburan hujan lebat yang dijangka berterusan hingga esok.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata persiapan rapi di kawasan berisiko perlu diteliti segera susulan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan lebih kerap sebelum peralihan fasa air pasang mati kepada air pasang besar minggu depan.

"Keutamaan kita sekarang ialah mempercepat operasi mengepam air dari kawasan kediaman dan memantau keadaan sungai serta paras air laut. Hujan yang lebih kerap dijangka berlaku sehingga 21 November, manakala fenomena air pasang besar diramalkan pada 23 hingga 27 November.

"Saya mahu persiapan menghadapi kedua-dua keadaan ini diteliti segera agar keadaan tidak bertambah buruk," katanya ketika ditemui selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Maharaja Lela di sini malam tadi.

Beliau turut menyampaikan Bantuan Wang Ihsan kepada 377 mangsa banjir dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok dan Jeram di PPS berkenaan yang dikenal pasti lokasi paling terjejas setakat semalam, khususnya kediaman sekitar Parit Mahang.

Mengulas lanjut situasi banjir di Parit Mahang yang berlarutan hampir dua minggu, Amirudin memaklumkan ban sungai di kawasan berkenaan didapati telah dipecahkan sebanyak dua kali oleh pihak tidak bertanggungjawab meskipun kerja penampalan awal telah dilakukan.

Beliau berkata laporan polis telah dibuat berhubung insiden pencerobohan rizab sungai itu dan individu yang disyaki terlibat sudah ditahan bagi membantu siasatan, manakala kerja penampalan semula ban serta penambahan pam air sedang giat dijalankan bagi mempercepat proses air surut.

Terdahulu, Amirudin menyantuni 157 mangsa daripada 42 keluarga di PPS SK Sungai Binjai, Meru yang dibuka buat kali pertama tahun ini, berbanding kekerapan minimum dua hingga empat kali setahun pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata Sungai Binjai yang lazimnya melimpah setiap kali hujan lebat tidak lagi berlaku sedemikian kali ini selepas projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) melibatkan kerja pelebaran sungai berkenaan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dilaksanakan.

"Ini adalah contoh bagaimana projek RTB kita boleh mengurangkan kesan walaupun masih lagi berlaku di beberapa lokaliti dan kawasan yang mana ia adalah kesan daripada air pasang.

"Limpahan sebenarnya datang dari kawasan lain dan bukan limpahan Sungai Binjai kerana RTB Sungai Binjai ternyata dapat mengurangkan sangat banyak kesan banjir berbanding tahun sebelum ini," katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.