
SHAH ALAM, 11 NOV: Kerajaan Negeri akan memperkenalkan beberapa program berkaitan teknologi kecerdasan buatan (AI) menerusi Belanjawan Selangor 2027 yang bakal dibentangkan pada Jumaat ini.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran rakyat dalam teknologi berkenaan, bukan sekadar menjadi pengguna.
Menurutnya, Kerajaan Negeri telah memulakan usaha memperkenalkan teknologi AI kepada agensi berkaitan sejak tahun lalu, namun pendekatan itu perlu diperluas bagi membolehkan rakyat turut menguasai dan menghasilkan teknologi berkenaan.

“Dengan perubahan dan perkembangan teknologi AI, kita sudah memulakan program memperkenalkan AI kepada agensi terbabit pada tahun 2025. Namun, kita percaya AI tidak cukup sekadar digunakan dan difahami.
“Kita harus menjadi pencipta dan menguasainya. Perkembangan AI ketika ini sepatutnya menjadi perhatian dan kebimbangan masyarakat serta dunia kerana teknologi itu boleh berubah menjadi sesuatu yang tidak terkawal sekiranya kita gagal menguasainya.
“Justeru, dalam Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan pada 13 November ini, terdapat elemen pendidikan AI yang akan kita terapkan kepada masyarakat menerusi beberapa program. Kita berharap inisiatif ini dapat membiasakan rakyat dengan AI, bukan sekadar menjadi pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sidang Kemuncak Pendidikan Selangor (SES) 2026 di Pusat Konvensyen Setia City, di sini, hari ini.

Belanjawan Selangor 2027 yang dijadual dibentangkan pada 13 November ini turut dijangka memberi perhatian kepada usaha meningkatkan kesedaran rakyat terhadap krisis perubahan iklim serta memperkukuh pembangunan ilmu.
Kedua-dua aspek itu menjadi antara tumpuan dalam usaha memperkukuh ekonomi negeri bagi menghadapi cabaran perubahan iklim dan perkembangan teknologi.
Sebagai rekod, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM3.23 bilion menerusi Belanjawan Selangor 2026, dengan RM1.86 bilion atau 57.6 peratus bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM1.37 bilion atau 42.4 peratus diperuntukkan untuk pembangunan.









