
SHAH ALAM, 11 NOV: Kerajaan Negeri mahu memastikan setiap peruntukan dalam Belanjawan Selangor 2027 memberi manfaat kepada rakyat dengan mengambil kira kemampuan kewangan serta hala tuju pembangunan negeri.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara itu antara yang diberi perhatian dalam Taklimat Rang Undang-Undang dan Mesyuarat Pre-Council Belanjawan Selangor 2027 yang dipengerusikannya hari ini.
“Perbincangan ini penting bagi memastikan penjajaran strategik belanjawan dengan hala tuju pembangunan negeri, mengambil kira kemampuan kewangan serta keperluan sebenar rakyat.
“Setiap peruntukan perlu diurus dengan berhemah dan diterjemahkan kepada pelaksanaan yang berkesan serta manfaat yang dapat dirasai rakyat,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Mesyuarat itu turut dihadiri Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Negeri serta pegawai Kerajaan Negeri sebagai persediaan menjelang pembentangan belanjawan pada Jumaat ini (13 Nov).
Selain persiapan pembentangan, beliau berkata perbincangan turut meneliti prestasi kewangan dan kutipan hasil negeri setakat 10 November 2026, kedudukan kewangan semasa serta cadangan Belanjawan Selangor 2027.
Amirudin turut menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk meneruskan usaha memperkukuh ekonomi, menambah baik perkhidmatan dan kemudahan awam serta memelihara kesejahteraan rakyat.








