
SHAH ALAM, 9 NOV: Meningkatkan kesedaran rakyat terhadap krisis perubahan iklim dan memperkukuh pembangunan ilmu bakal menjadi antara agenda utama Kerajaan Negeri dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kedua-dua perkara itu perlu diberi perhatian seiring usaha memperkukuh ekonomi negeri, khususnya dalam mendepani cabaran perubahan iklim dan perkembangan teknologi.
Menurutnya, isu perubahan iklim perlu dilihat sebagai satu krisis yang memerlukan perhatian serius, bukan sekadar menjadi topik perbincangan, sebaliknya asas kepada perancangan dasar, pembangunan infrastruktur dan kehidupan masyarakat.
Katanya, Kerajaan Negeri mahu membuka ruang wacana lebih menyeluruh supaya rakyat memahami kesan perubahan iklim serta pendekatan yang perlu diambil bagi menghadapi cabaran berkenaan.

“Kalau ada orang nak sebutkan apa yang perlu kita tangani dalam tempoh setahun atau dua tahun mendatang, ia adalah berkaitan dengan krisis iklim.
“Kita jarang ketengahkan isu krisis iklim ini. Sebagai contoh, apa infrastruktur yang sesuai untuk mendepani perubahan iklim, bagaimana kita mahu bersekolah ketika situasi panas berpanjangan, hujan atau banjir.
“Justeru, saya mahu membuka wacana itu dengan lebih serius dengan menjadikan krisis iklim bukan hanya topik untuk melengkapkan satu jalan cerita, tetapi menjadi asas supaya cabaran ini dapat kita tangani,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam wawancara khas bersama Media Selangor sempena pembentangan Belanjawan Selangor 2027 di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, baru-baru ini.
Pada September lalu, Amirudin berkata perubahan iklim, kelestarian alam sekitar, pendidikan, tenaga mahir dan peralihan teknologi antara perkara yang diberi perhatian dalam penyediaan Belanjawan Selangor 2027.
Beliau turut menegaskan isu alam sekitar perlu ditangani secara bersama kerana kesannya merentasi sempadan dan tidak boleh diselesaikan oleh Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan secara bersendirian.
Budaya ilmu
Selain agenda iklim, Amirudin berkata pembangunan ilmu rakyat turut menjadi keutamaan, termasuk melalui penerbitan buku oleh Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) dan penganjuran festival turath yang menghimpunkan ulama terkemuka dari seluruh dunia.
Menurutnya, IBDE yang ditubuhkan pada 2016 berjaya menerbitkan lebih 100 judul buku, termasuk karya terjemahan, sekali gus memperluas akses masyarakat kepada bahan bacaan berkualiti.

Beliau berkata usaha itu turut diperluas menerusi festival turath dan pelbagai program pendidikan bagi menyemarakkan budaya ilmu dalam kalangan masyarakat.
“Alhamdulillah, kita terbitkan buku melalui IBDE dengan cukup banyak, melebihi 100 judul sekarang. Saya ingat pada 2018 semasa saya ambil alih, kita hanya ada kurang 30 hingga 40 judul sahaja ketika itu.
“Sekarang sudah jadi 100 judul dan kita panjangkan pula dengan festival turath yang menjemput ulama-ulama besar seluruh dunia, selain beberapa program sampingan.
“Di saat kita mengejar ekonomi berdaya tahan, mengejar peluang dalam dunia kecerdasan buatan (AI), kita juga membangunkan jiwa rakyat menerusi program pendidikan,” katanya.
Prestasi ekonomi
Sementara itu, Amirudin berkata Selangor terus mengekalkan kedudukan sebagai penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sepanjang lapan tahun beliau menerajui pentadbiran negeri.
Malah, katanya, nilai ekonomi negeri dijangka mencecah RM500 bilion menjelang 2028, sekali gus mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai peneraju ekonomi negara.
“Kita adalah satu-satunya negeri yang mencatatkan hal tersebut. Lebih manis, hal itu berjaya kita capai selepas kita berdepan dengan krisis kesihatan, krisis politik dan krisis ekonomi yang berlaku pada 2020,” katanya.

Pada Ogos lalu, Amirudin berkata Selangor berpotensi mencapai nilai ekonomi RM500 bilion lebih awal daripada sasaran, berdasarkan unjuran yang dikongsikan Timbalan Ketua Perangkawan Malaysia, Wan Mohd Shahrulnizam Wan Mohd Najuri ketika pembentangan prestasi ekonomi negeri pada penghujung Julai.
Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Selangor kekal sebagai penyumbang terbesar ekonomi negara dengan KDNK mencecah RM460.1 bilion tahun lalu, bersamaan 26.5 peratus daripada keseluruhan aktiviti ekonomi negara.









