SHAH ALAM, 14 NOV: Kerajaan Selangor memperuntuk RM3.23 bilion dalam belanjawan tahun hadapan bagi melaksanakan perbelanjaan mengurus dan pembangunan negeri.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM1.86 bilion atau 57.6 peratus diagih untuk perbelanjaan mengurus, manakala RM1.37 bilion atau 42.4 peratus bagi pembangunan.
"Mendepani landskap ekonomi yang mencabar, Kerajaan Negeri masih mengekalkan momentum kedudukan kewangan dan terus berdaya tahan dilengkapi analisa petunjuk serta perkiraan menyeluruh sebagai langkah persediaan menghadapi kelembapan ekonomi 2026," katanya.
Beliau mengumumkan perkara itu ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 bertemakan Selangor Juara, Rakyat Sejahtera di Bangunan Annex, di sini, hari ini.
Tahun lalu, Selangor memperuntuk RM3 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan negeri.
Bagi peruntukan mengurus, Amirudin menjelaskan perbelanjaan perkhidmatan dan bekalan (Objek Am 20000) merupakan komponen terbesar mencakupi 39.8 peratus daripada jumlah keseluruhan.
Perkara dibelanjakan antaranya pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) fasa kedua dan kenaikan harga kontrak selaras pelaksanaan gaji minimum RM1,700 bagi kontrak khidmat pembersihan.
Selain itu, ia termasuk khidmat kawalan keselamatan dan kontrak penyelenggaraan melibatkan 26 jabatan, penyelenggaraan balai penghulu di sembilan daerah dan kenaikan kos utiliti.
Perkara lain meliputi bayaran elaun guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) serta sewaan bangunan pejabat kerajaan antaranya ibu pejabat dan sembilan mahkamah rendah syariah.
Dalam pada itu, Amirudin berkata belanja pembangunan pada 2026 meningkat RM70 juta atau 5.4 peratus berbanding tahun lalu, kali ini tumpuan terhadap sektor sosial.
"Kenaikan peruntukan sektor sosial yang merangkumi 30 peratus iaitu sebanyak RM360 juta adalah persediaan setelah mengambil kira cabaran yang bakal dihadapi pada tahun hadapan.
"(Ini) termasuk jangkaan kemelesetan ekonomi dunia dengan menambah baik sistem perlindungan sosial merangkumi kebajikan, pendidikan dan pengukuhan ekonomi golongan sasar sebagai teras kesejahteraan rakyat," katanya.
Enam tekad Belanjawan Selangor 2026 meliputi:
Sumber Hasil Negeri, Peluang Ekonomi Rakyat
Reformasi Tadbir Urus Memartabatkan Bangsa
Mencorak Pendidikan Melakar Masa Depan
Keunggulan Seni Budaya dan Kemantapan Generasi Muda
Selangor Negeri Penyayang
Kelestarian Alam Sekitar dan Kebitaraan Infrastruktur




