Projek infrastruktur Selangor disesuaikan dengan perubahan iklim - MB

9 Nov 2026, 4:00 AM
Projek infrastruktur Selangor disesuaikan dengan perubahan iklim - MB
Projek infrastruktur Selangor disesuaikan dengan perubahan iklim - MB
Projek infrastruktur Selangor disesuaikan dengan perubahan iklim - MB
Projek infrastruktur Selangor disesuaikan dengan perubahan iklim - MB

SHAH ALAM, 9 NOV: Kerajaan Negeri akan memastikan semua pembangunan projek infrastruktur selepas ini mengambil kira perubahan iklim bagi meningkatkan keberkesanan sistem saliran dan mengurangkan risiko kejadian banjir di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pendekatan itu penting bagi memastikan kemudahan infrastruktur seperti sistem perparitan mampu berfungsi dengan baik dalam pelbagai keadaan cuaca, termasuk ketika musim kemarau dan tengkujuh.

Menurutnya, perancangan pembangunan infrastruktur perlu beralih kepada pendekatan lebih menyeluruh dan bersesuaian dengan cabaran perubahan iklim yang semakin ketara.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berucap ketika temuramah khas Belanjawan Selangor 2027 di Kediaman Rasmi Dato Menteri Besar, Shah Alam pada 5 November 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Projek-projek infrastruktur kita akan juga disesuaikan mengikut perubahan dalam krisis iklim. Sebagai contoh, kalau mahu buat longkang, longkang itu perlu berfungsi bagi jangka masa panjang, untuk menjadi simpanan air contohnya.

“Selain itu, bagaimana jalan kita bukan hanya tampal lubang tetapi boleh tahan dalam keadaan cuaca sejuk dan panas. Bukan hanya bertahan ketika sejuk tetapi tercabut balik selepas tiga bulan ketika waktu panas.

“Semua projek infrastruktur ini perlu turut memberikan fokus dan tekanan terhadap hal awal berkaitan dengan perubahan iklim,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi wawancara khas bersama Media Selangor sempena pembentangan Belanjawan Selangor 2027 yang diadakan di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, baru-baru ini.

Pada September lalu, Amirudin berkata isu perubahan iklim, kelestarian alam sekitar, pendidikan, tenaga mahir dan peralihan teknologi merupakan antara perkara tumpuan dalam penyediaan Belanjawan Selangor 2027.

Beliau dilapor berkata, isu alam sekitar perlu dilihat sebagai satu krisis yang memerlukan tindakan bersama berikutan kesannya merentasi sempadan dan tidak boleh ditangani Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan secara bersendirian.

Dalam pada itu, Amirudin berkata beliau akan mengadakan perbincangan bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta jabatan kejuruteraan bagi meneliti sendiri semua titik panas (hotspot) banjir di negeri ini.

EXCO Infrastruktur, Dato’ Ir Izham Hashim bersama ADN Batu Tiga, Danial Al Rashid Harun Aminar Rashid dan Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof ketika Lawatan pemantauan projek rancangan tebatan banjir anak sungai Damansara pada 19 Mei 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Menurutnya, langkah itu bertujuan mengenal pasti punca masalah serta mempercepat pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang mengambil masa agak panjang untuk disiapkan.

Beliau menegaskan penyelesaian isu banjir perlu dilaksanakan secara lebih sistematik dan tersusun dengan mengambil kira keperluan setiap kawasan, selain memastikan semua agensi berkaitan bergerak secara bersepadu.

“Saya sendiri akan duduk bersama EXCO Dato’ Ir Izham Hashim, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), PBT dan agensi teknikal untuk lihat semua 56 kawasan titik panas banjir, bagaimana untuk kita tangani secara menyeluruh.

“Saya rasa itu kerja agak agresif yang saya perlu selesaikan dalam tempoh 2027 hingga 2028, sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri, kalau diizinkan. Saya yakin ia akan menjadi satu solusi yang berpanjangan,” katanya.

Pada 28 Oktober lalu, Izham memaklumkan, sebanyak 70 peratus daripada 255 projek tebatan banjir (RTB) menerusi langkah segera (quick win) di Selangor sudah siap dibina, membabitkan peruntukan hampir RM70 juta.

Kerja-kerja membaiki ban yang pecah di Pantai Seri Sentosa, Sekinchan giat dijalankan ketika tinjauan pada 7 November 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Beliau dilapor berkata, projek yang memberi tumpuan kepada kawasan berisiko banjir kilat itu dilaksanakan menerusi kerjasama JPS, PBT serta Jabatan Kerja Raya (JKR).

Sebelum ini, JPS Selangor mengenal pasti 56 lokasi hotspot banjir dan 232 kawasan berisiko di seluruh negeri berdasarkan data asas tahun lalu, dengan Klang mencatat jumlah hotspot tertinggi dengan 13 lokasi.

Selain itu, Petaling merekodkan 11 lokasi diikuti Gombak (10), Hulu Langat (9), Kuala Selangor (6), Sepang (3) manakala Hulu Selangor dan Kuala Langat masing-masing dua lokasi.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.