SHAH ALAM, 11 NOV: Sidang Kemuncak Pendidikan Selangor (SES) 2026 menjadi platform strategik Kerajaan Negeri dalam merangka masa depan pendidikan secara menyeluruh, merangkumi kebajikan murid, pembentukan sahsiah dan pembangunan kemahiran generasi muda.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penganjurannya bukan sekadar pameran pendidikan, sebaliknya menghimpunkan pelbagai perancangan bagi memastikan Selangor terus melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan seimbang.
“Sidang Kemuncak Pendidikan Negeri Selangor ini merupakan satu rencana dan perancangan dan harapan masa depan yang telah kita rangka dan bina… yang telah kita aturkan dan susunkan melengkapi segala aspek.
“Apa yang saya sebutkan berulang kali bahawa pendidikan merupakan kunci kepada kemakmuran, kemampuan, pembangunan dan kemajuan negeri. Pembangunan ataupun pendidikan merupakan nadi yang akan memastikan negeri ini terus cemerlang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian SES 2026 di Pusat Konvensyen Setia City di sini, hari ini.

Amirudin berkata komitmen Kerajaan Negeri terhadap pendidikan turut diterjemahkan menerusi pelbagai inisiatif kebajikan termasuk Program Nutrisi Selangor (NutriSel) yang memberi perhatian kepada nutrisi dan kualiti pemakanan murid.
“Slogan bukan hanya sekadar kata-kata, cita-cita ataupun impian tetapi ia dilaksanakan dengan rencana yang meliputi segala aspek meliputi hal kebajikan, nutrisi kualiti makanan anak-anak.
“Alhamdulillah program NutriSel kita mendapat sambutan yang sangat baik, insya-Allah kita akan teruskan pada tahun hadapan,” katanya.
Selain kebajikan, beliau berkata Kerajaan Negeri turut menekankan pembentukan sahsiah menerusi program perpaduan dan kawad bagi melengkapkan pencapaian akademik pelajar.
Pada masa sama, katanya, peluang latihan industri turut diberi perhatian melalui perancangan program bersama anak syarikat dan agensi negeri yang menyediakan latihan bermodul, pengalaman kerja bersesuaian serta elaun sehingga RM1,500.
“Hari ini, salah salah satu daripada program yang kita nak luncur ialah program-program latihan industri. Program yang kita nak bantu dan nak kembangkan mereka yang hampir bergraduan atau selesai pembelajaran.
“Biasanya mereka perlu mengikuti latihan industri atau dipanggil internship. Internship yang kita akan aturkan dengan anak-anak syarikat, agensi tetapi kita sediakan satu piawaian nilaian internship mereka.
"Bukan hanya membuat kopi, menyusun mesin atau pengiring kepada ketua jabatan tetapi beri latihan yang bermodul, beri pengalaman kerja yang sesuai selain sedia elaun sehingga RM1,500,” katanya.
Amirudin turut menegaskan pendidikan tidak seharusnya hanya mengejar kemajuan teknologi dan kebolehpasaran graduan, sebaliknya perlu mengekalkan nilai kemanusiaan bagi melahirkan masyarakat seimbang.

“Kita tidak akan sesekali melupakan falsafah penting kepada pendidikan iaitu melahirkan manusia atau insan yang seimbang… yang mempunyai jiwa manusia, belas ihsan dan ketajaman fikirannya selain tingkah laku baik.
“Mereka bukan sahaja menjadi pekerja cekap, berkemahiran tinggi dan berpengetahuan luas tetapi melahirkan masyarakat serta komuniti seimbang kerana akhirnya mahu menjadi negeri berdaya huni,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pembangunan) Dato’ Johary Anuar berkata SES 2026 menghimpunkan pelbagai pengisian termasuk pertandingan, simposium, konvensyen, penyelidikan, inovasi dan pameran agensi pendidikan negeri.
Menurutnya, perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI), perubahan struktur ekonomi dan keperluan industri menuntut sistem pendidikan sentiasa bersedia menyesuaikan diri dengan cabaran semasa.
“Pendidikan tidak lagi boleh dilihat semata-mata daripada aspek pencapaian akademik. Sebaliknya, kita perlu melihatnya secara lebih holistik, merangkumi penguasaan ilmu, kemahiran teknikal, kreativiti, inovasi, pemikiran kritis, sahsiah serta keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan.
“SES 2026 menghimpunkan lima komponen yang saling melengkapi selain menekankan konsep pembelajaran berterusan dan interaktif bagi menarik minat murid serta mahasiswa,” katanya.
SES yang julung kali diperkenalkan pada 2024 menjadi platform penting dalam memperkukuh agenda pendidikan dan inovasi negeri, selaras usaha Kerajaan Negeri membangunkan modal insan berkemahiran.










