SHAH ALAM, 4 NOV: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor mengenal pasti 56 lokasi hotspot banjir dan 232 kawasan berisiko di seluruh negeri berdasarkan data asas tahun lalu.
EXCO Alam Sekitar berkata Klang mencatat jumlah hotspot tertinggi dengan 13 lokasi, antaranya Kampung Rantau Panjang, Kampung Jalan Kebun, Taman Rashna, Taman Sri Muda dan Kampung Bukit Kapar.
Jamaliah Jamaluddin berkata, Petaling merekodkan 11 lokasi diikuti Gombak (10), Hulu Langat (9), Kuala Selangor (6), Sepang (3) manakala Hulu Selangor dan Kuala Langat masing-masing dua lokasi.
"Selain hujan lebat, fenomena air pasang besar turut menjadi faktor risiko yang perlu diberi perhatian, khususnya di Klang, Sepang, Petaling, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.
"Penduduk di kawasan pesisir pantai, muara sungai dan kawasan rendah dinasihatkan sentiasa peka terhadap tarikh serta jangkaan aras air pasang yang dikongsikan pihak berkuasa," katanya menerusi kenyataan.
Jelas Jamaliah, 1,161 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dikenal pasti di seluruh Selangor bagi menghadapi kemungkinan banjir.
"Daripada jumlah tersebut, 696 merupakan sekolah seliaan Kementerian Pendidikan (KPM), 242 dewan, 135 balai raya dan selebihnya melibatkan sekolah bukan seliaan KPM, masjid, surau serta pusat komuniti.
"Semua agensi berkaitan perlu memastikan PPS berada dalam keadaan bersedia, selamat dengan dilengkapi kemudahan asas, bekalan makanan mencukupi serta kebersihan pada tahap terbaik di samping memberi perhatian kepada kebajikan golongan rentan," ujarnya.
Tambahnya, Kerajaan Negeri mengingatkan rakyat Selangor sentiasa peka terhadap amaran cuaca dan banjir serta mengambil langkah keselamatan sewajarnya seperti menyediakan beg kecemasan keluarga serta elakkan meredah jalan dinaiki air dan patuhi arahan pemindahan pihak berkuasa.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat banjir daripada sumber rasmi JPS melalui Public InfoBanjir JPS Malaysia di https://publicinfobanjir.water.gov.my/?lang=en dan InfoBanjir JPS Selangor di https://infobanjirjps.selangor.gov.my/index.html.
Selain itu, boleh memuat turun aplikasi myCuaca versi 3.0 milik Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) yang menyediakan ramalan dan amaran cuaca berdasarkan lokasi.












