PUTRAJAYA, 10 SEPT: Perubahan iklim, kelestarian alam sekitar, pendidikan, tenaga mahir dan peralihan teknologi antara perkara diberi perhatian dalam penyediaan Belanjawan Selangor 2027.
Dato’ Menteri Besar berkata perkara itu dikenal pasti menerusi Sesi Libat Urus Belanjawan 2027 yang menghimpunkan pemegang taruh utama serta tokoh dalam bidang ekonomi dan pembangunan.
Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, sesi dialog bersama Pengarah Eksekutif Institut Asia-Eropah Universiti Malaya (UM) Dato' Prof Ulung Dr Rajah Rasiah dan Penasihat Ekonomi Pejabat Perdana Menteri Malaysia Nurhisham Hussein, hari ini memberi ruang kepada Kerajaan Negeri mendapatkan pandangan mengenai cabaran semasa serta langkah yang perlu diberi keutamaan.
“Segala perkongsian mengenai krisis iklim, perkembangan sektor pembuatan dan persediaan sumber tenaga manusia akan kita beri perhatian dan ia masih selaras dengan Rancangan Selangor Kedua (RS-2),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Sesi Libat Urus Belanjawan Negeri Selangor 2027 di Hotel Le Meridien, di sini, hari ini.
Menurut Amirudin, tumpuan turut diberikan kepada usaha memastikan peralihan teknologi dapat dilaksanakan secara berkesan, selain memperkukuh sistem pendidikan dan penyediaan tenaga mahir bagi memenuhi keperluan industri.
Katanya, isu alam sekitar juga perlu dilihat sebagai satu krisis yang memerlukan tindakan bersama memandangkan kesannya merentasi sempadan dan tidak boleh ditangani Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan secara bersendirian.
“Ini bukan soal menambah atau mengurangkan peruntukan tetapi bagaimana kita menangani isu ini secara bersama kerana Kerajaan Persekutuan juga mempunyai peranan penting,” katanya.
Amirudin berkata hasil sesi libat urus itu akan menjadi panduan kepada Kerajaan Negeri dalam memuktamadkan Belanjawan Selangor 2027 yang dijadual dibentangkan pada November depan.
Sebelum ini, Kerajaan Selangor memperuntukkan RM3.23 bilion menerusi Belanjawan Selangor 2026, meningkat berbanding RM3 bilion pada tahun sebelumnya.
Bertemakan ‘Selangor Juara, Rakyat Sejahtera’, Belanjawan Selangor 2026 memperuntukkan RM1.86 bilion atau 57.6 peratus bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM1.37 bilion atau 42.4 peratus untuk perbelanjaan pembangunan.










