Pendekatan Quick Win berhasil kurangkan impak banjir - MB

7 Nov 2026, 3:00 AM
Pendekatan Quick Win berhasil kurangkan impak banjir - MB
Pendekatan Quick Win berhasil kurangkan impak banjir - MB
Pendekatan Quick Win berhasil kurangkan impak banjir - MB
Pendekatan Quick Win berhasil kurangkan impak banjir - MB

SHAH ALAM, 7 NOV: Inisiatif mitigasi banjir segera atau quick win yang digerakkan Kerajaan Negeri sejak tahun lalu berjaya mengurangkan impak bencana, khususnya di kawasan titik panas yang sering dilanda banjir kilat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Selangor kini memberi tumpuan kepada pelaksanaan langkah mitigasi segera, tanpa hanya bergantung kepada projek penyelesaian jangka panjang.

Beliau berkata pendekatan itu membuahkan hasil apabila beberapa kawasan yang sebelum ini kerap dilanda banjir kini menunjukkan perkembangan positif selepas kerja mitigasi dilaksanakan.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berucap ketika temuramah khas Belanjawan Selangor 2027 di Kediaman Rasmi Dato Menteri Besar, Shah Alam pada 5 November 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Contoh paling baik adalah di Jalan 222, Petaling Jaya. Di sana banjir sebanyak dua kali (sebelum ini). Selepas quick win yang kita lakukan iaitu bina kolam tadahan sementara, dalam hujan lebat baru-baru ini, di sana tidak berlaku banjir walaupun air di Sungai Penchala tinggi.

“Di Padang Jawa, beberapa usaha kita yang sebelum ini kerap berlaku banjir, kita sudah dapat elakkan banjir. Di Taman Mutiara, Bukit Raja juga kita berjaya selesaikan.

“Yang paling terkini adalah di depan i-City. Baru minggu lepas kita luluskan, kita letakkan pam dan pintu air. Alhamdulillah sekarang di i-City tidak banjir sebagaimana dakwaan biasa sebelum ini,” katanya kepada Media Selangor.

Pada 28 Oktober lalu, EXCO Infrastruktur Dato' Ir Izham Hashim memaklumkan sebanyak 70 peratus daripada 255 projek tebatan banjir (RTB) menerusi pendekatan quick win di Selangor telah siap dilaksanakan, membabitkan peruntukan hampir RM70 juta.

Beliau berkata projek yang memberi tumpuan kepada kawasan berisiko banjir kilat itu dilaksanakan menerusi kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Jabatan Kerja Raya (JKR).

EXCO Infrastruktur dan Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim (tengah) ketika hadir melawat ke rumah pam dan projek tebatan banjir di Taman Melawis, Klang pada 28 Oktober 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Bagaimanapun, Amirudin mengakui masalah banjir di Kampung Melayu Subang masih belum dapat diselesaikan sepenuhnya kerana projek mitigasi di kawasan berkenaan memerlukan tempoh pelaksanaan yang lebih panjang.

Menurutnya, projek itu telah dianugerahkan pada 2024, namun pelaksanaannya mengambil masa berikutan beberapa proses yang perlu diselesaikan, termasuk pengambilan tanah dan penyediaan reka bentuk projek.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan mengadakan perbincangan bagi mengenal pasti komponen kerja yang boleh diberi keutamaan supaya langkah penyelesaian dapat dilaksanakan dengan lebih segera.

“Kita akan bincang untuk dahulukan perkara yang lebih penting. Kita minta supaya kerja mendalamkan sungai (dredging) dilakukan terlebih dahulu bagi meningkatkan kapasiti sungai,” katanya.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berucap ketika temuramah khas Belanjawan Selangor 2027 di Kediaman Rasmi Dato Menteri Besar, Shah Alam pada 5 November 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Mengulas kejadian banjir di Meru pula, Amirudin berkata keadaan di kawasan itu kini semakin baik dan tidak lagi mengalami banjir teruk seperti sebelum ini susulan pelaksanaan beberapa langkah mitigasi.

Katanya, beberapa kawasan yang dahulunya sering dilanda banjir, termasuk Binjai dan pekan Meru, menunjukkan perkembangan positif apabila tidak lagi mengalami banjir besar meskipun menerima taburan hujan lebat luar biasa.

“Dahulu kawasan Meru seperti di Binjai, di pekan Meru (berlaku banjir). Ini semua terbukti Meru tidak banjir dengan parah walaupun jumlah hujan sebelum itu biasanya menyebabkan banjir yang besar.

“Sebelum ini kita memang memberi tumpuan kepada projek jangka panjang, tetapi sekarang kita melihat semula perkara yang lebih penting untuk dilaksanakan terlebih dahulu,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.