Selangor tambah RM70 juta, hampir 70 peratus projek mitigasi banjir segera siap

4 Nov 2026, 7:07 AM
Selangor tambah RM70 juta, hampir 70 peratus projek mitigasi banjir segera siap
Selangor tambah RM70 juta, hampir 70 peratus projek mitigasi banjir segera siap
Selangor tambah RM70 juta, hampir 70 peratus projek mitigasi banjir segera siap

SHAH ALAM, 4 NOV: Kerajaan Negeri menambah peruntukan sebanyak RM70 juta bagi melaksanakan 255 projek mitigasi banjir segera di seluruh Selangor, dengan hampir 70 peratus daripadanya sudah disiapkan.

EXCO Infrastruktur Dato' Ir Izham Hashim berkata projek berkenaan memberi tumpuan kepada langkah penyelesaian segera (quick win), termasuk pemasangan pam air, pembersihan sistem perparitan dan pembaikan tebing sungai di kawasan berisiko banjir.

"Kerajaan Negeri tambah lagi RM70 juta untuk 255 projek. Quick win ini maknanya yang boleh buat segera, contohnya letak pam ataupun pembersihan longkang, parit dan pembaikan tebing.

"Yang mana cepat, segera kita dah buat. 70 peratus daripada projek tindakan segera itu dah siap di seluruh Selangor," katanya ketika ditemui selepas majlis pecah tanah bangunan Ibu Pejabat Baharu Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) di Seksyen 33 di sini, hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato' Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin (tengah) bersama EXCO Infrastruktur Dato' Ir Izham Hashim (tiga, kiri) melakukan gimik Pecah Tanah Tapak Bangunan Baharu Ibu Pejabat Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) di Seksyen 33, Shah Alam pada 4 November 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Izham menjelaskan pelaksanaan projek berkenaan merupakan langkah tambahan Kerajaan Negeri bagi mengurangkan risiko banjir sementara menunggu projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) berskala besar disiapkan.

Menurutnya, projek RTB memerlukan tempoh pelaksanaan lebih panjang kerana melibatkan proses kajian, reka bentuk, pengambilan tanah dan kerja pembinaan fizikal.

Beliau berkata lebih 160 projek RTB dengan nilai keseluruhan melebihi RM4 bilion sedang dilaksanakan secara berperingkat di seluruh Selangor.

"Projek RTB memang memerlukan masa untuk dilaksanakan. Ada yang di peringkat awal, ada yang dalam pembinaan, ada yang separuh siap dan ada yang hampir siap," katanya.

Untuk rekod, berdasarkan data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, sebanyak 177 daripada 255 projek mitigasi banjir segera atau hampir 70 peratus telah disiapkan.

Batu-batu pengukuh dihantar dan ditempatkan di kawasan kritikal sebagai langkah mitigasi awal bagi membantu mengawal aliran air serta melindungi kawasan sekitar daripada kerosakan yang lebih serius. Foto Facebook Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepang

Daripada jumlah keseluruhan itu, 37 projek masih dalam perancangan, 20 dalam proses perolehan dan 21 lagi sedang dilaksanakan.

Data sama menunjukkan jumlah keseluruhan kelulusan projek mencecah RM86.48 juta, manakala nilai perolehan sebenar berjumlah RM85.68 juta.

Mengikut pecahan agensi, JPS mengendalikan 162 projek dengan 113 daripadanya siap, diikuti pihak berkuasa tempatan (PBT) sebanyak 60 projek dengan 40 siap.

Jabatan Kerja Raya (JKR) pula merekodkan 18 daripada 25 projek siap, manakala Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) menyiapkan lima daripada tujuh projek serta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menyempurnakan satu projek.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.