Rangkuman SUKMA 2026: Selangor kukuh kedudukan pendahulu, raih 30 emas hingga hari ini

19 Ogos 2026, 2:30 PM
Rangkuman SUKMA 2026: Selangor kukuh kedudukan pendahulu, raih 30 emas hingga hari ini
Rangkuman SUKMA 2026: Selangor kukuh kedudukan pendahulu, raih 30 emas hingga hari ini
Rangkuman SUKMA 2026: Selangor kukuh kedudukan pendahulu, raih 30 emas hingga hari ini
Rangkuman SUKMA 2026: Selangor kukuh kedudukan pendahulu, raih 30 emas hingga hari ini
Rangkuman SUKMA 2026: Selangor kukuh kedudukan pendahulu, raih 30 emas hingga hari ini

SHAH ALAM, 19 OGOS: Kontinjen Selangor terus mempamerkan aksi cemerlang apabila mengumpul 30 pingat emas setakat jam 10.30 malam ini, bertambah tujuh berbanding 23 emas semalam.

Pusat Akuatik Selangor menjadi antara gelanggang utama yang menyaksikan kilauan pingat buat kontinjen negeri apabila muncul penyumbang tertinggi pingat hari ini.

Eliza Ai Shen Tan menghadiahkan emas menerusi acara 200 meter gaya bebas wanita sebelum Danial Scott Williams turut muncul juara dalam acara 50 meter gaya lentang lelaki.

Turut mencuri tumpuan, Shannon Tan Yang-Qing yang mengungguli acara 400 meter rampaian individu wanita selepas mencatat masa empat minit 48.50 saat.

Rakan sepasukannya, Yoong Jia Jia melengkapkan kejayaan Selangor dalam acara sama apabila meraih gangsa dengan catatan lima minit 10.13 saat.

Cayden Gooi pula meraih perak acara 100 meter gaya kuak dada lelaki, manakala Muhammad Haris Mohd Rezal turut membawa pulang perak menerusi acara 3 meter papan anjal lelaki.

Dua lagi gangsa dari kolam renang disumbangkan Oswald Lim dalam acara 50 meter gaya lentang lelaki dan Goh Li Jie bagi 200 meter gaya bebas lelaki.

Kutipan emas Selangor turut diperkukuh pasangan tenpin boling Muhammad Aiman Syahin Sulaiman dan Adania Mohd Redzwan yang muncul juara acara beregu campuran.

Sementara itu, skuad menembak wanita menyumbang dua perak menerusi acara 25 meter pistol individu wanita dan 25 meter pistol berpasukan wanita, manakala pelari muda Shayathiri Ratnam meraih perak acara 10,000 meter wanita di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM).

Setakat jam 10.30 malam ini, Selangor mendahului senarai dengan keseluruhan 30 emas, 33 perak dan 23 gangsa.

Shannon, Li Hen tuai emas 400m rampaian individu

Skuad renang Selangor menguasai acara 400 meter rampaian individu lelaki dan wanita apabila meraih dua pingat emas dan satu gangsa pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Pusat Akuatik Selangor, hari ini.

Shannon Tan Yang-Qing muncul juara acara 400 meter rampaian individu wanita selepas mencatat masa 4 minit 48.50 saat.

Rakan sepasukannya, Yoong Jia Jia melengkapkan kejayaan Selangor dengan meraih pingat gangsa menerusi catatan masa 5 minit 10.13 saat.

Shannon Tan Yang-Qing meraih pingat emas acara 400 meter rampaian perseorangan wanita pada SUKMA 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

Halina akhiri kempen SUKMA 2026 dengan empat pingat

Halina Izreen Hasli Izwan menutup kempen SUKMA 2026 dengan mengumpul empat pingat selepas meraih dua lagi pingat perak, hari ini.

Dua pingat perak itu diraih menerusi acara 25 meter pistol individu wanita dan 25 meter pistol berpasukan wanita di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan Subang.

Semalam, Halina turut memenangi pingat perak dalam acara 10 meter pistol individu wanita, sekali gus melengkapkan kutipan tiga pingat perak dan satu gangsa pada temasya kali ini.

Penembak Selangor yang dibarisi Halina Izreen Hasli Izwan, Lim Kyllie dan Soo Sher Qi menyumbang pingat perak dalam acara 25 meter(m) pistol berpasukan wanita akhir pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 di Lapang Sasar Negara Subang pada 19 Ogos 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Emas, gangsa 50 meter gaya kuak lentang lelaki

Selangor meraih dua pingat menerusi acara renang 50 meter gaya lentang lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, hari ini.

Danial Scott Williams muncul juara selepas mencatat masa 26.81 saat untuk meraih pingat emas.

Rakan sepasukan yang bertanding dalam acara sama, Oswald Lim pula melengkapkan podium dengan meraih pingat gangsa selepas merekodkan catatan 27.21 saat.

Danial Scott Williams raih emas acara renang 50 meter gaya lentang lelaki dengan mencatat masa 26.81 saat di Pusat Akuatik Selangor pada 19 Ogos 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

Cayden Gooi raih pingat perak 100 meter kuak dada lelaki

Cayden Gooi meraih pingat perak dalam acara 100 meter gaya kuak dada lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, hari ini.

Cayden mencatat masa 1:04.16 saat untuk menamatkan perlumbaan di tempat kedua, hanya 0.14 saat di belakang pemenang pingat emas dari Wilayah Persekutuan, Cham Yu Xiang, yang merekodkan masa 1:04.02 saat.

Catatan itu menyaksikan Cayden memberikan saingan sengit dalam perlumbaan berkenaan sebelum terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

Cayden Gooi meraih pingat perak dalam acara 100 meter gaya kuak dada lelaki dengan mencatat masa 1:04.16 saat. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

Adania, Aiman raih emas beregu campuran tenpin boling

Pasangan tenpin boling Selangor, Muhammad Aiman Syahin Sulaiman dan Adania Mohd Redzwan menghadiahkan pingat emas kepada kontinjen negeri dalam acara beregu campuran.

Aiman dan Adania muncul juara selepas mencatat 2,468 jatuhan pin, sekali gus menceriakan penyokong tuan rumah.

Pasangan tenpin boling Selangor, Muhammad Aiman Syahin Sulaiman dan Adania Mohd Redzwan memenangi pingat emas acara beregu campuran pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Sunway Megalanes, Petaling Jaya pada 19 Ogos 2026. Foto SHAMZ JOHAN/MEDIA SELANGOR

Eliza juarai 200m gaya bebas wanita, Goh Li Jie raih gangsa

Eliza Ai Shen Tan menghadiahkan pingat emas kepada kontinjen negeri selepas menjuarai acara 200 meter gaya bebas wanita.

Eliza mencatat masa 2 minit 5.26 saat untuk muncul juara sekali gus menambah kutipan emas Selangor pada temasya kali ini.

Sementara itu, seorang lagi perenang Selangor, Goh Li Jie meraih pingat gangsa dalam acara 200 meter gaya bebas lelaki.

Beliau mencatat masa 1 minit 52.67 saat untuk menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

Perenang Selangor, Eliza Ai Shen Tan beraksi dalam acara akhir 200 meter gaya bebas wanita sebelum meraih pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Pusat Akuatik Selangor, Shah Alam pada 19 Ogos 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

Skuad menembak wanita Selangor raih dua pingat perak

Skuad menembak wanita Selangor menyumbang dua pingat perak kepada kontinjen negeri.

Pingat pertama diraih menerusi Halina Izreen Hasli Izwan dalam acara 25 meter pistol individu wanita selepas tewas tipis 14-16 kepada wakil Terengganu, Wan Nur Anissa Wan Nazri pada aksi penentuan pingat emas di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan Subang.

Selangor kemudian menambah satu lagi pingat perak menerusi acara 25 meter pistol berpasukan wanita yang dibarisi Halina Izreen, Lim Kyllie dan Soo Sher Qi.

Penembak Selangor Halina Izreen Hasli Izwan meraih pingat perak dalam acara 25 meter(m) pistol individu wanita akhir pada SUKMA Selangor 2026 di Lapang Sasar Negara Subang pada 19 Ogos 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Atlet terjun raih perak, hanya dipisahkan 4.40 mata daripada juara

Muhammad Haris Mohd Rezal meraih pingat perak dalam acara 3 meter papan anjal lelaki selepas mengumpul 387.45 mata di Pusat Akuatik Selangor.

Atlet berusia 21 tahun itu hanya dipisahkan 4.40 mata daripada pemenang pingat emas, Yong Rui Jie dari Wilayah Persekutuan, sekali gus menyumbang satu lagi pingat perak buat kontinjen tuan rumah.

Muhammad Haris menyifatkan pencapaian itu membanggakan apabila berjaya memberikan saingan sengit kepada penerjun kebangsaan.

Atlet terjun Selangor, Muhammad Haris Mohd Rezal beraksi dalam acara akhir 3 meter papan anjal lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Pusat Akuatik Selangor, Shah Alam pada 19 Ogos 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

Shayathiri raih perak 10,000m, penampilan sulung dalam SUKMA 2026

Penampilan sulung di pentas SUKMA 2026 menjadi kenangan manis buat pelari muda Selangor, Shayathiri Ratnam apabila meraih pingat perak acara 10,000 meter wanita pada hari keempat saingan olahraga di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM).

Atlet berusia 16 tahun itu menamatkan perlumbaan selepas 25 pusingan dengan catatan 41 minit 30.790 saat, sekali gus memperbaharui rekod peribadi terbaiknya.

Pingat emas menjadi milik wakil Wilayah Persekutuan, manakala Sabah meraih gangsa.

Atlet Selangor, Shayathiri Ratnam beraksi dalam acara 10,000 meter wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, pada 19 Ogos 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR.

SUKMA Selangor 2026 berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos ini dengan Selangor menyasarkan 80 pingat emas. Beberapa acara sudah memulakan saingan lebih awal.

Bagi Selangor, kejayaan bukan hanya diukur melalui kelancaran menjadi tuan rumah, tetapi juga kemampuan atlet menjadikan gelanggang sendiri sebagai medan untuk melahirkan juara.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.